Ketika ramai peminat bola sepak tanah air berbicara mengenai peningkatan yang ditampilkan oleh Faisal Halim, seorang lagi pemain muda pasukan Pahang iaitu Zuhair Aizat mencuri tumpuan apabila beliau mempamerkan prestasi memberangsangkan pada dua perlawanan terakhir Liga Super 2019.

Pemain berusia 22 tahun ini mula diberikan perhatian setelah beliau menjaringkan gol kemenangan Pahang ketika bertemu pasukan Kedah pada perlawanan minggu keenam liga. Pada mulanya, Zuhair bermula dari bangku simpanan dan beliau dimasukkan bagi menggantikan Mohamadou Sumareh.

Setelah menampilkan persembahan yang baik pada perlawanan menentang Kedah, Dollah memutuskan untuk memberikan peluang bagi Zuhair membarisi kesebelasan utama pasukan pada perlawanan menentang Felda United minggu lalu. Beliau digandingkan dengan Safuwan Baharuddin di bahagian tengah.

Keputusan Dollah nyata tepat apabila Zuhair sekali lagi tampil dengan cemerlanng dimana beliau mencipta beberapa peluang dan menyumbang satu assist kepada jaringan Faisal pada minit-minit terakhir permainan. Setelah tamat perlawanan, Dollah menyatakan beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh Zuhair Aizat.

“Saya berpuas hati dengan prestasi Zuhair malam ini, dia banyak cipta peluang, melakukan serangan,” kata Dollah.

Berdasarkan persembahan yang ditampilkan pada dua perlawanan terakhir liga, Zuhair wajar diberikan lebih lagi peluang untuk membarisi kesebelasan utama skuad Tok Gajah pada perlawanan yang akan datang. Beliau boleh digandingkan dengan seorang lagi pemain tengah berbakat Pahang, Nor Azam Azih atau kekal digandingkan bersama Safuwan.

Jika Zuhair mendapat minit bermain yang banyak serta mendapat pendedahan yang secukupnya, tidak mustahil beliau dapat meningkatkan lagi mutu serta kualiti permainannya sekaligus menjadi antara pemain tengah terbaik dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Selain itu, ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee juga boleh mempertimbangkan untuk memanngil Zuhair memandangkan pasukannya akan beraksi dalam kejohanan Sukan SEA 2019 di Filipina pada hujung tahun ini.

Dengan kehadiran pemain yang pernah membantu Pahang memenangi Piala Agong pada 2017, jentera tengah skuad bawah 23 tahun negara bakal mempunyai lebih ramai pilihan pemain dimana ketika ini posisi tersebut diisi oleh Nik Akif Syahiran, Daniel Amier Norhisham, Danial Haqim dan K.Thivandaran.