Ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin menyifatkan pasukannya berdepan laluan yang berliku untuk mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia musim ini apabila diundi dalam satu kumpulan bersama Selangor, PDRM dan FELDA United.
Beliau berkata demikian setelah menilaikan prestasi 3 pasukan lawan itu dalam saingan Liga Super dan Liga Premier serta menjangkakan saingan Piala Malaysia musim ini jauh lebih sengit.
“Selangor memang kita tahu pasukan yang hebat dan ada peningkatan begitu juga PDRM selain Felda United yang tidak boleh dipandang ringan cabaran mereka kerana kita tahu dalam saingan Piala Malaysia setiap pasukan akan bermain mati-matian dan prestasi mereka akan lebih berbeza.
“Walaupun kita ada kekuatan dan kelebihan tersendiri namun ia perlu dimanfaatkan sebaiknya selain menggunakan peluang yang ada untuk mengutip mata penuh kerana ia amat penting dalam saingan di peringkat kumpulan,” katanya dalam Bernama
Malah, persiapan skuad Melaka United kali ini sedikit terjejas dengan kecederaan dan masalah kesihatan yang dihadapi oleh beberapa pemain utama namun Zainal yakin situasi itu kembali pulih menjelang aksi pertama bertemu PDRM pada hari ahad ini.
“Cuma masalah kecederaan dialami penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat sedikit meresahkan dan kita menunggu kebenaran daripada doktor untuk memberi lampu hijau sekiranya dia benar-benar pulih.
“Apa pun yang kita pasti, setiap pemain yang diturunkan pasti akan berusaha bersungguh-sungguh untuk merebut piala terakhir bagi musim ini dan sudah tentu kita mahu mencari kejayaan untuk pasukan,” katanya.
Malam tadi, mereka sempat menghadapi perlawanan persahabatan bertemu SAMB FC dengan kemenangan berpihak kepada Melaka United, 4-0 hasil jaringan daripada Nazrin Nawi, Luka Milunovic, Davy Angan N’Guessan dan S Devan Raj.