Pengendali Penang FC, Zainal Abidin Hassan tanpa berselindung mengakui aksi buruk yang dipamerkan anak buahnya ketika menentang Melaka United sehingga menyebabkan mereka tumpas 1-4 dalam aksi Liga Super Malaysia 2022, malam tadi.
Kekalahan kelapan itu terus meletakkan skuad kendalian Zainal di tangga terbawah liga dengan hanya mengumpul tujuh mata, kekurangan satu mata dibelakang Sri Pahang tetapi skuad ‘Haria Penang Haria’ itu sudah beraksi lebih dua perlawanan berbanding lawan yang ditewaskan dalam aksi suku akhir Piala FA tempoh hari.
Ketinggalan 0-4 ketika aksi baharu sahaja memasuki minit ke-60, Penang hanya mampu mendapatkan jaringan saguhati pada minit ke-86 menerusi sepakan percuma Lucas Silva.
Satu keadaan sudah pastinya memeningkan kepala Zainal yang mula membimbing Penang pada 1 Jun lalu selepas menggantikan jurulatih dari Republik Czech, Thomas Trucha.
“Bagi saya selama saya kendalikan [Penang], ini adalah boleh dikatakan aksi terburuk kami pamerkan dan juga saya tak mahu berikan alasan,” ujar Zainal bercakap kepada media selepas perlawanan.
“Yang penting adalah kami kena perbaiki dan memandang ke hadapan kerana banyak lagi perlawanan-perlawanan yang mustahak. Yang penting ‘post-mortem’ harus untuk dilakukan.”
“Proses pemulihan pemain perlu dilakukan secepat mungkin kerana saya tahu ada ramai pemain yang mengalami kecederaan dan juga ada dua tiga pemain menjalani proses penggantungan pada hari ini. Paling penting kita kena bangkit, itu amat penting.”
“Bagi saya, saya tahu itulah [pertahanan] posisi yang paling ingin saya perbaiki. Alhamdulillah dapat diperbaiki sedikit demi sedikit tetapi hari ini sekali lagi nampak begitu tidak teratur dengan ada sebab yang saya tahu dan ada sebab yang saya perlu perbaiki,” tambah Zainal Abidin lagi.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.
Asri Ninggal: Semangat Berpasukan Pemain Melaka United Atasi Penang Sangat Bagus
Ronaldo Bawa Ejen Jumpa Ten Hag, Dan Ikut Pintu Belakang Selepas Bincang Tentang Masa Depannya