Bekas pemain Barcelona, Xavi Hernandez berjaya meraih kejuaraan pertama sejak menceburi bidang kejurulatihan apabila beliau membimbing Al Sadd memenangi Piala Sheikh Jassim.

Kejohanan yang dilangsungkan sebelum saingan Liga Qatar bermula itu mempertemukan dua seteru utama iaitu Al Sadd selaku juara Qatar Stars League musim lalu menentang pemenang Emir of Qatar Cup iaitu Al Duhail dan perlawanan dilangsungkan di Stadium Jassim Bin Hamad, Doha pada Sabtu lalu.

Pemain tengah Al Sadd, Ali Asad menjaringkan gol tunggal perlawanan sekaligus memberikan kejuaraan pertama untuk Xavi. Perlawanan tersebut diwarnai dengan beberapa pergaduhan serta kekecohan antara pemain daripada kedua-dua pasukan yang menyaksikan Al Duhail menamatkan permainan dengan 9 pemain setelah Luis Martin dan Asem Madibo dibuang padang.

Xavi berkata: Saya gembira kerana memenangi kejuaraan pertama selaku pengendali Al Sadd. Kami bekerja keras sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan kini kami memenangi kejuaraan pertama untuk musim ini.

“Kami layak memenangi trofi ini kerana pemain telah menampilkan persembahan yang cemerlang. Perlawanan menentang Al Duhail bukanlah satu perlawanan yang mudah,” kata bekas ketua pasukan Barcelona itu menurut laporan AFC.

Al Sadd akan membuka tirai saingan Liga menentang Al Wakrah SC pada 21 Ogos ini sebelum menentang kelab dari Arab Saudi, Al Nassr pada 26 Ogos dalam perlawanan peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.