Syarikat gusti terkemuka, World Wrestling Entertainment (WWE) sedang dalam usaha untuk mendapatkan pemain bintang dunia, Cristiano Ronaldo untuk tampil dalam salah satu acara mereka iaitu Crown Jewel.

Acara Crown Jewel kali ini akan berlangsung pada 4 November dan tahun ini merupakan edisi kelima bagi acara itu dimana ia diwujudkan setelah ada tawaran lumayan dari Arab Saudi bagi mengadakan salah satu acara di negara itu.

Untuk menjadikan acara tersebut lebih gemilang dan berjaya berbanding sebelum ini, WWE mahu bintang Al-Nassr itu untuk tampil dan menurut laporan Cristiano Ronaldo akan mendapat bayaran lumayan sekiranya bersetuju untuk tampil.

WWE Cristiano Ronaldo
Sumber Gambar: AFC

Menurut syarikat itu, kehadiran Ronaldo boleh membantu dari segi jualan tiket kerana beliau merupakan salah satu pemain bintang terkenal yang sedang beraksi dalam liga bola sepak Arab Saudi yang mana jumlah pengikut semakin meningkat setiap hari.

Salah seorang bintang WWE iaitu Apollo Crews percaya Ronaldo boleh mencuba bidang gusti sekiranya beliau bersara dari pentas bola sepakj profesional satu hari nanti.

“Secara jujurnya, dengan mentaliti yang dia ada untuk berada di tahap dia berada sekarang, saya rasa itu sudah cukup untuk Ronaldo memiliki karier yang baik dalam bidang gusti.

“Apabila bercakap tentang aspek fizikal, ia satu perkara yang sukar. Namun mengetahui Ronaldo mempunyai semua yang diperlukan, jadi saya tidak risau mengenai beliau,” katanya.

Sekiranya bersetuju, maka Ronaldo bukanlah pemain bola sepak pertama yang membuat penampilan dalam acara WWE dimana sebelum ini bekas penyerang Norwich City, Grant Holt, bekas penjaga gol Werder Bremen, Tim Wiese dan bekas pemain Wycombe Wanderers, Adebayo Akinfenwa pernah membuat penampilan sebelum ini.