Ketua jurulatih National Telecom, Weerayuth Taweegun mendedahkan tindakan membawa masuk Firdaus Zulkefli ke dalam skuad kendaliannya bukan kerana tujuan pemasaran untuk menarik minat ramai penyokong Malaysia bagi menyaksikan Liga Futsal Thailand.

Baca Juga:

Sebaliknya, beliau melihat Firdaus mempunyai kualiti yang cukup baik, berkemampuan serta berani mencabar diri untuk menimba pengalaman di pentas lebih tinggi.

Weerayuth juga turut pernah melihat sendiri kualiti yang dimiliki Firdaus ketika National Telecom (sebelum ini dikenali sebagai Cat FC) menyertai Kejohanan Futsal Antarabangsa Powernet 2020 di Ipoh.

National Telecom yang muncul juara kejohanan beraksi dua kali bertemu Perak (peringkat kumpulan dan final) dan dari situlah Weerayuth sudah mula memerhatikan kelibat Firdaus.

“Saya mula bertemu dengannya buat pertama kali pada kejohanan jemputan empat penjuru di Ipoh pada tahun 2020. Dia satu-satunya pemain dari Malaysia yang bertemu saya dan bertanya khabar.”

“Dia juga ingin mengenali saya dan kelab dengan lebih dekat. Saya suka dengan personalitinya yang ingin belajar sesuatu yang baharu untuk terus berjaya dalam futsal,” ujar Weerayuth ketika dihubungi wakil VocketFC.

“Saya melihat Firdaus sebagai seorang pemain yang baik. Pada kejohanan tersebut, dia merupakan pemain terbaik buat Perak. Walaupun tidak memiliki saiz fizikal yang besar tetapi dia mempunyai kebijaksanaan ketika beraksi.”

Weerayuth memberikan arahan kepada anak buahnya. Kredit Foto: National Telecom FC

“Saya juga merupakan jurulatih yang suka memberikan peluang kepada ramai pemain dan langsung tidak peduli pemain tersebut datang dari negara mana.”

“Asalkan dia mempunyai keazaman, kebolehan, ada keinginan untuk berjaya, berani untuk keluar dan mencari cabaran baharu di Thailand serta paling penting, perlu menjadi seorang yang baik.”

“Sudah pasti, saya membawanya [Firdaus Zulkefli] ke Thailand bukan atas tujuan pemasaran. Hakikatnya, dia memang boleh datang dan bermain disini kerana kebolehan yang ada pada dirinya.”

“Saya juga percaya dia sudah cukup bagus untuk bermain di Thailand dan bersama dengan saya, saya percaya dia akan menjadi lebih baik daripada sebelum ini.”

“Ia juga akan membantu skuad kebangsaan Malaysia untuk menjadi lebih baik,” tambah Weerayuth Taweegun.

Firdaus pantas membalas kepercayaan yang diberikan selepas beliau menyumbang satu gol ketika membantu National Telecom menang pada aksi persahabatan di Bangkok, minggu lalu.