Jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan berpendapat ‘orang’ Malaysia mahukan kejayaan sekelip mata, sedangkan hakikatnya ketika ini ialah untuk kita fokus pada pembangunan pemain di peringkat akar umbi demi kejayaan jangka panjang.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai peletakan jawatan Tan Cheng Hoe sebagai pengendali skuad kebangsaan, kelmarin.
Ia rentetan kegagalan di Piala AFF 2020 hingga Cheng Hoe dikecam hebat dengan ada segelintir pihak dan penyokong mendesak bekas pengendali Kedah itu dipecat atau meletak jawatan.
Wan Jamak yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan berkata, soalnya adakah bakal pengganti Cheng Hoe mampu membuat magik ketika ini?
“Jurulatih tempatan atau luar negara bagi saya jika dalam waktu terdekat ini, tiada buruk dan tiada juga baiknya.
“Kita pernah ambil jurulatih luar sebelum ini tetapi gagal dan kita tendang dia juga, desak dia berhenti.
“Sama saja bagi saya, kalau jurulatih luar negara atau tempatan sekalipun jika pemainnya adalah muka itu juga pasti Malaysia akan ulangi perkara sama,” katanya.
Justeru Wan Jamak menekankan pemain juga perlu ada tanggungjawab pada negara dan kelab kerana di mata kasarnya kualiti dan kekuatan individu antara pemain menjadi punca kekalahan pasukan.
“Kita tiada pemain yang berani berlari dan membuat hantaran di celah pemain lawan. Tapi kalau tengok pemain Vietnam dan Indonesia, mereka kerap melakukan hantaran di celah lorong pemain kita.
“Malah jika kita lihat secara individu pemain Vietnam dan Indonesia, mereka berani. Berbeza pemain kita tidak berani untuk menggunakan kemahiran individu seperti menggelecek bola dan berlari dengan bola.
“Jadi disini penting untuk kita melatih dan fokus generasi akar umbi seawal usia enam hingga 12 tahun agar ada kemahiran berani untuk persediaan ke peringkat seterusnya, jadi bila ke Akademi Mokhtar Dahari atau seumpamanya mereka sudah ada asas,” katanya.
Tegasnya, bukan memihak pada jurulatih mahupun menyalahkan pemain tetapi generasi akar umbi perlu ditekankan untuk kejayaan jangka panjang.
“Buat masa ini, siapa sahaja yang turun naik, letak jawatan pun tiada banyak beza. Namun langkah yang diambil Cheng Hoe adalah berani, saya juga pernah alami situasi yang sama.
“Menjadi adat, jika pasukan gagal jurulatih akan meletak jawatan ia berlaku di mana-mana negara sekalipun. Cuma diharap penggantinya kali ini mampu membuat perubahan bukan sahaja sekarang tetapi untuk kejayaan jangka masa panjang dengan dibantu semua pihak,” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaan di sini:
Scott O’Donell Mahu FAM Lantik Jurulatih Import Untuk Skuad Harimau Malaya
Media Terkenal Thailand Dedahkan Kiatisuk Senamuang Salah Seorang Calon Ketua Jurulatih Malaysia