Peledak berbisa SSC Napoli, Victor James Osimhen tidak menyembunyikan keinginannya untuk merasai pengalaman beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Baca Juga:
- Bintang Napoli Bakal Uji Kemampuan Chanathip Songkrasin
- Napoli vs Juventus: Old Lady Lunyai Kena Belasah 5-1
- Napoli Mahu Tukar Nama Stadium Sempena Nama Diego Maradona
Penyerang berusia 24 tahun itu nyata menjadi antara individu yang mencuri tumpuan di Itali apabila beliau kini bergelar penjaring terbanyak Serie A dengan 19 gol, berkelebihan lima gol di hadapan Lautaro Martinez dari Inter Milan.
Malah, prestasi baik Osimhen bersama rakan sepasukannya yang lain turut meletakkan Napoli kini selesa ditangga teratas apabila memimpin carta liga dengan mengumpul 68 mata.
Kedudukan yang jelas semakin sukar untuk dikejar pencabar terdekat, Inter Milan selepas hanya mengumpul 50 mata.
Keadaan itu memberikan gambaran bahawa Napoli semakin hampir menamatkan penantian panjang mereka untuk menjulang trofi liga selepas kali terakhir memenanginya pada musim 1989/90.
Susulan prestasi hebat ditampilkannya, sudah pasti ada spekulasi yang mengaitkan pemain kelahiran Lagos, Nigeria ini dengan kelab-kelab dalam saingan EPL.
Namun, Osimhen yang turut pernah beraksi di Jerman, Belgium dan Perancis tidak mahu tergesa-gesa untuk merealisasikan impiannya bagi berkelana ke England.
“Saya merasakan beraksi di salah satu daripada lima liga terkenal di dunia [merujuk kepada Serie A] adalah perasaan yang cukup menakjubkan buat saya.”
“Ramai orang di seluruh dunia mempertimbangkan bahawa Liga Perdana Inggeris sebagai yang terbaik tetapi pada ketika ini saya berada dalam salah satu liga terbaik di dunia iaitu Serie A Itali.”
“Saya bekerja dengan cukup kuat untuk memastikan saya dapat mencapai impian bagi beraksi dalam Liga Perdana Inggeris pada satu hari nanti.”
“Tetapi, seperti yang saya katakan, ia merupakan satu proses dan saya hanya perlu untuk mengekalkan momentum cemerlang dan terus melakukan yang terbaik,” ujar Victor Osimhen menurut sumber laporan Goal.