Menjelang perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia, Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) memberi jaminan keselamatan pemain dan penyokong pasukan lawan akan dijaga.
VFF dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengadakan pertemuan di Hanoi bagi membincangkan isu mengenai keselamatan pemain dan penyokong pada semalam.
Delegasi FAM dibarisi oleh Exco FAM merangkap Ahli Jawatankuasa Keselamatan FAM, Md Dali Wahid, Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman dan Ketua Unit Keselamatan FAM, Muhammad Ashtar Rahim manakala VFF diwakili Setiausaha Agung, Le Hoai Anh, Setiausaha Eksekutif, Cao Ngoc Cam serta wakil pihak berkuasa Vietnam.
Sebelum ini, terdapat beberapa isu membabitkan keselamatan terutamanya penyokong yang hadir ke Hanoi. Pada perlawanan akhir kedua saingan Piala AFF Suzuki 2018, penyokong Malaysia berdepan kesukaran untuk memasuki stadium kerana penyokong tuan rumah yang tidak memiliki tiket mahu merempuh masuk.
Malaysia dijadualkan menentang pasukan Vietnam pada 10 Oktober ini dimana perlawanan tersebut bakal diadakan di Stadium My Dinh.
Dalam carta kumpulan G, Malaysia ketika ini menduduki tangga ketiga dengan kutipan tiga mata manakala Vietnam menduduki tangga keempat dengan kutipan satu mata.
Baca artikel lain mengenai pasukan Vietnam di sini:
Vietnam Umum 32 Pemain Awal Hadapi Malaysia Dan Indonesia Bulan Depan
FAM Umumkan Penjualan Tiket Perlawanan Bertemu Vietnam Bermula Hari ini
Park Hang-seo: Seperti Tidak Bertanggungjawab Jika Tinggalkan Pasukan Sekarang