Ketua jurulatih Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bert Van Marwijk jelas tidak memandang ringan aksi bertemu Malaysia dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal pagi esok.

Van Marwijk melihat pertembungan di Stadium Maktoum Bin Rashid Al Maktoum itu sebagai misi wajib menang buat pasukannya.

Bermula dengan baik ketika menundukkan Malaysia 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan mudah membelasah Indonesia 5-0, UAE kemudiannya dirundung malang apabila tewas bertemu Thailand dan Vietnam.

Keadaan tersebut menyebabkan UAE kini berada di tangga keempat selepas mengumpul enam mata, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Vietnam tetapi mereka kekurangan satu perlawanan berbanding empat pasukan lain dalam kumpulan G itu.

Hakikat tersebut pastinya akan mudah bermain di minda pengendali kelahiran Belanda itu kerana UAE sangat memerlukan kemenangan bagi menghidupkan peluang untuk terus berjuang memburu tiket ke Qatar.

“Kami telah bekerja dengan sangat keras untuk perlawanan ini [bertemu Malaysia] dan kami tahu bahawa kami perlu memenanginya,” ujar Van Marwijk menurut laporan Khaleej Times.

“Saya tidak boleh mengubahnya sama sekali, para pemain dan semua kakitangan pasukan juga tahu kami perlu untuk menang perlawanan ini. Sentiasa ada sahaja tekanan untuk kita mempamerkan aksi terbaik.”

“Saya lihat padang pada hari ini dan ini adalah padang yang sangat bagus. Dan semua orang gembira kerana penyokong dibenarkan kembali. Ia sentiasa merupakan perkara yang baik apabila memiliki penyokong dalam stadium.”

“Saya hanya memikirkan tentang perlawanan ini. Sekiranya anda mahu beraksi dengan baik, anda tidak boleh memberikan fokus terhadap banyak perkara dan pemain juga tahu tentang perkara itu.”

“Satu-satunya perkara yang mereka perlu lakukan adalah untuk memenangi perlawanan ini,” tambah Van Marwijk lagi.

Sumber