Penjaga gol pasukan kebangsaan, Farizal Marlias menyatakan tugas selaku ketua pasukan yang diberikan kepada beliau bukanlah satu tekanan melainkan amanah yang perlu dimanfaatkan dengan baik.
Farizal turut menegaskan beliau sudah bersedia sekiranya ketua jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe menurunkan beliau dalam kesebelasan utama pada perlawanan menentang Nepal malam ini.
“Nak kata gembira sangat tidaklah. Cuma ini kali pertama saya jadi kapten dan saya menganggap itu sebagai amanah.
“Saya sudah bersedia untuk diturunkan. Bola sepak adalah permainan berpasukan jadi semua pemain perlu bersedia, jadi jika seorang pemain tidak bersedia itu akan mencacatkan pasukan.
“Tekanan tetap ada dalam bola sepak. Tidak kisah jika saya bermain sebagai kapten atau sebaliknya,” katanya menurut laporan Utusan.
Penjaga gol Johor Darul Ta’zim ini diberikan tugas sebagai ketua pasukan skuad kebangsaan pada perlawanan persahabatan menentang Nepal dan juga perlawanan peringkat kelayakkan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pusingan pertama bertemu Timor Leste.
Seorang lagi pemain, Shahrul Saad dilantik sebagai penolong ketua pasukan bagi membantu Farizal. Kedua-dua pemain ini dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan malam ini.