Skuad tok gajah kali ini kelihatan begitu serius untuk merampas gelaran juara Piala Malaysia musim ini selepas gagal mempertahankan Piala FA bulan lalu. Pasukan yang dikendalikan oleh Dollah Salleh itu melakukan persiapan rapi dengan mengaturkan dua aksi pemanas badan menentang dua pasukan Liga Premier, UiTM FC dan Terengganu FC II.

Semalam mereka mencatat kemenangan 4-1 ke atas UiTM FC melalui jaringan dua penyerang import, Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi masing-masing menjaringkan satu gol dengan dua lagi menerusi pemain tengah, Nor Azam Azih dan Mohd Faisal Halim sekaligus memberi amaran awal kepada pasukan lain.

67314651_2466876890039657_5241258293363474432_o
FOTO: Pahang FA

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang menyifatkan perlawanan pemanas badan itu merupakan medan untuk pemain simpanan membuktikan kemampuan mereka selain memastikan tahap kecergasan pemain berada dalam keadaan yang memuaskan.

“Bertemu UiTM pada aksi persahabatan itu lebih kepada menguji pasukan, terutama dari segi mengekalkan rentak dan persefahaman pemain. Pada perlawanan itu juga jurulatih (Dollah Salleh) memberi peluang kepada barisan kedua Pahang mempamerkan prestasi masing-masing.

“Kemenangan ini diharap memberi motivasi dan semangat untuk menghadapi saingan lebih mencabar Piala Malaysia bermula Sabtu ini,” katanya dalam Arena Metro.

67398126_2466782396715773_8994916541627629568_n
FOTO: Pahang FA

Bagi mengekalkan momentum pasukan, mereka akan melayan satu lagi aksi persahabatan menentang Terengganu FC (TFC) II di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh, Temerloh, malam esok.

“Saya percaya dua aksi pemanas badan ini akan membantu meningkatkan kualiti pasukan,” katanya.

Dalam saingan Piala Malaysia, Pahang diundi dalam Kumpulan C akan bertemu Perak yang juga juara bertahan dan finalist Piala FA musim ini, juara Liga Perdana, Sabah dan Pulau Pinang.

Sumber