Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mengesa semua stadium di Malaysia mengambil langkah naik taraf keadaan padang supaya tidak ketinggalan dengan negara jiran.

Menerusi kenyataannya di laman instagram, TMJ mendedahkan kos tukar padang dua kali ganda lebih murah daripada menandatangani pemain import.

“Mudah-mudahan satu Malaysia tukar padang. Dua kali lagi murah dari tandatangani pemain import. Kalau saya tak buat, sampai mampos tak tukar padang.

“Indonesia, Kemboja, Vietnam, Thailand semua dah tukar padang yang lebih berkualiti. Kita aja masih padang lembu, mentaliti pun lebih kurang,” kata TMJ.

TMJ berkata demikian selepas Perbadanan Stadium Malaysia berkongsi perkembangan terkini mengenai proses penanaman rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

SNBJ bakal menjadi antara 4 buah stadium utama di Asia Tenggara yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia selain Stadium Nasional Singapura, Stadium Utama Gelora Bung Karno serta Stadium JDT, Stadium Sultan Ibrahim.

Difahamkan proses penggantian rumput ini menelan kos berjumlah RM2.3 juta dan ditaja oleh TMJ sebagai sumbangan kepada bola sepak Malaysia.

Malah, JDT juga dalam proses naik taraf padang yang digunakan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin kepada rumput jenis Hyrid.

Beberapa buah stadium di Asia juga sudah mula beralih daripada menggunakan rumput asli kepada ‘hybrid grass’ iaitu satu teknologi baharu yang sudah mula mendapat perhatian di seluruh dunia.

Padang jenis Hybrid ini adalah gabungan penggunaan rumput asli dan juga rumput sintetik pada kadar ratio yang sama untuk memaksimakan kelebihan masing-masing.

Rumput jenis ini juga sebenarnya dikenali dengan banyak nama seperti Xtragrass atau pun ‘Reinforce Natural Grass’ dan telah banyak digunakan di negara-negara eropah.