Mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor mengeluarkan kenyataan rasmi melalui laman sosial Johor Southern Tigers mengenai isu provokatif penyokong Indonesia kepada skuad Malaysia U16.
Dalam kenyataan itu, TMJ menyarankan serta akan memastikan bahawa FAM akan menghantar surat bantahan rasmi serta protes mengenai isu tersebut yang kelihatan sudah melampaui batas.
Baginda juga melihat perkara itu bukan lagi mengenai diplomatik tetapi lebih menyentuh mengenai nama negara yang telah dihina secara berterusan oleh penyokong Indonesia.
Dalam kenyataan itu juga TMJ secara tidak langsung menegur Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq supaya lebih bijak untuk memikirkan apa yang lebih penting serta tindakan yang patut diambil.
“Saya faham Menteri Belia dan Sukan yang sentiasa memikirkan diplomatik untuk bertindak. Ini bukan mengenai diplomatik tetapi mengenai nama negara yang telah dihina. Mana yang lebih penting, untuk menjadi popular atau untuk berjaya?”
Selain itu, TMJ juga menasihatkan sebagai ketua, kadang-kala kita tidak boleh asyik nak menjaga hati semua pihak sahaja. Kadang-kadang kita perlu lakukan keputusan yang sukar orang nak terima tetapi ia untuk kebaikan negara.
‘Leadership is about action. Not position. Sometimes you have to bite the bullet.’