Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mula bersuara selepas Selangor tersingkir di peringkat suku akhir Piala Malaysia 2023 apabila tewas menerusi agregat 3-1 kepada Terengganu semalam.

Kekalahan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu mengundang pelbagai kritikan dan kecaman daripada para penyokong setia gergasi merah selepas mempamerkan prestasi hambar sejak minggu lepas.

Namun begitu, TMJ sempat membuat pendedahan menerusi laman instagramnya mengenai punca kegagalan sebenar pasukan Selangor yang masih ketandusan trofi sejak dibawah pimpinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah (RMS).

Menurut TMJ, Selangor FC telah membazirkan banyak wang kerajaan setiap tahun tetapi tiada apa-apa kejayaan yang membanggakan.

“45 juta duit kerajaan setiap tahun. 8 tahun tiada apa-apa dan hanya ‘scam’ penyokong sendiri. 8 tahun hina pengurusan lama tetapi ‘claim’ kejayaan mereka.

“8 tahun cipta hype dan apabila gagal, berpura-pura jadi mangsa dibuat orang. 8 tahun uruskan kaki ‘scam’ duit kerajaan. Jika kepala tak betul, ekor pun tak betul,” tulis TMJ menerusi laman instagram story.

Malah, TMJ juga berpendapat tidak wajar ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe dipersalahkan di atas kemerosotan prestasi pasukan kerana yang memilih pemain ialah pihak pengurusan sendiri.

Antara nama yang disebut oleh TMJ ialah Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr Johan Kamal Hamidon, bekas naib Presiden SFA, Izhar Moslim, Ketua Pegawai Operasi SFC, Aladdin Mostafa, Pengurus pemasaran SFC, Faruk Fadzil dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif SFC, Simon Lim.

“Yang membuat keputusan dan beli pemain pihak pengurusan, buat apa nak salahkan jurulatih? Cuba pakai otak. Lebih teruk lagi apabila pemilik tak tahu apa-apa pasal bola sepak,” kata TMJ.

Lebih mengejutkan, TMJ juga telah mendedahkan surat rasmi milik Selangor FC yang dikirim kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pengendali liga, Malaysia Football League (MFL) mengenai isu keganasan bola sepak.

Menurut TMJ, ia mempunyai kaitan dengan insiden pergaduhan yang berlaku di Stadium Sultan Ibrahim bulan lalu.

“Baru-baru ini, pemilik Selangor FC tulis surat kepada FAM berkenaan keganasan dalam bola sepak Malaysia.

“Tetapi dalam surat tersebut, hanya bangkitkan isu peristiwa di Johor, seolah-olah suruh FAM mengambil tindakan terhadap JDT dan penyokong Johor.

“Saya pun pelik mengapa pemilik Selangor tak tulis berkenaan CEO sendiri maki pengadil, pergaduhan di Perak, Terengganu, Penang dan di Kuala Lumpur, ” tulis TMJ.

Itu tersebut tercetus apabila penyokong Selangor didapati telah membaling batu ke arah kereta milik pengadil perlawanan semalam sehingga pecah di bahagian cermin belakang.

Situasi itu sekaligus mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan yang menyifatkan penyokong Selangor gagal kawal emosi selepas tamat perlawanan itu.