Sehari menjelang perlawanan akhir kejohanan Shopee Piala FA 2019, tinjauan dibeberapa laman web jualan atas talian mendapati ada beberapa individu yang menjual tiket perlawanan akhir itu dengan harga yang hampir 2 kali ganda dari harga asal.
Berdasarkan tinjauan itu juga, harga paling murah ditawarkan untuk sekeping tiket adalah RM50 dan paling mahal pada harga RM90 sekeping.
Ramai individu menggunakan platform Carousell, untuk menjual kembali tiket perlawanan akhir Piala FA 2019 dengan harga yang lebih tinggi. Jika dilihat pada bahagian penerangan, pelbagai sebab dan alasan digunakan untuk dijadikan ‘pelaris’.
Platform penaja utama Piala FA 2019, Shopee juga tidak terlepas dari menjadi medan jualan tiket final kali ini walaupun jumlahnya lebih sedikit berbanding Carousell.
Kami berkesempatan menghubungi penjual tiket berkenaan untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana transaksi jual beli akan dilakukan untuk mendapatkan 5 keping tiket.
Menurutnya, semua urusan secara COD memerlukan pembeli membayar deposit 50% dari jumlah harga (RM350) semua tiket. Butiran akaun untuk bayaran akan diberikan melalui aplikasi Whatsapp.
Pembayaran juga boleh dibuat terus melalui Shopee.
Harga RM70 sekeping adalah ‘harga kesian’ bagi mereka yang masih tidak mempunyai tiket dan berhajat untuk hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2019 nanti.
Deposit 50% dari jumlah harga tiket yang dibeli.
Tawaran juga terbuka untuk memilih pintu mana yang dikehendaki samada dibahagian penyokong Kedah atau Perak.
Individu-individu ini juga memberikan pengesahan bahawa tiket yang dijual adalah tiket original dan tidak perlu risau mengenai status keasliannya.
Dengan hanya menjual 5 keping tiket, mereka sudah mengaut keuntungan RM100 dan kita tidak pasti berapa keping tiket sebenarnya yang ada ditangan mereka sedia untuk dijual.
Sepatutnya pihak yang berkenaan (termasuk penaja utama) perlu lebih teliti dalam perkara ini dan tidak membenarkan aktiviti penjualan semula tiket dilakukan secara atas talian untuk mengelakkan sebarang manipulasi oleh ulat tiket.