Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menegaskan bahawa jika pasukannya itu tidak wujud, Liga Malaysia tidak akan jadi meriah seperti sekarang.

Ia berdasarkan nama besar dan beberapa kejayaan yang dimiliki Harimau Selatan, sekali gus turut memberi kesan kepada nilai komersial liga tempatan.

Menerusi satu komen di laman Instagram rasmi JDT, officialjohor semalam, TMJ menjelaskan bahawa perkara itu adalah satu fakta yang sebenar.

“Tiada JDT tiada liga, tiada duit untuk hak penyiaran buat pasukan, tiada penuhkan stadium pasukan lain, tiada fasiliti terbaik buat pasukan kebangsaan, tiada kelab Malaysia di Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan tiada berita.

“JDT mengukuhkan nilai komersial industri bola sepak Malaysia. Fakta,” tulis TMJ.

TMJ

Hal ini dapat dibuktikan apabila perlawanan Liga Super yang melibatkan pasukan JDT sentiasa mencatat jumlah kehadiran yang tertinggi di Stadium Sultan Ibrahim pada musim ini.

Lebih 56,000 penyokong hadir ke Stadium Sultan Ibrahim dalam dua perlawanan dan hampir 37,000 penyokong di laman lawan dalam tiga perlawanan.

Corak permainan yang menarik ditunjukkan anak-anak buah Esteban Solari selain kehadiran pemain-pemain bintang dalam skuad Harimau Selatan antara faktor utama menarik kehadiran jumlah penyokong yang tinggi.

Selain itu, JDT juga telah ungguli rating tontonan di semua platform penyiar rasmi Liga Malaysia, Astro. Perkara ini disahkan oleh Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John menerusi laman twitternya.

Perlawanan Piala Sumbangsih yang juga pembuka tirai Liga Super 2023 antara JDT dan Terengganu FC mendapat rating tertinggi di platform linear, Astro GO dan Sooka.

Malah, pertembungan antara Selangor FC dan JDT pula mencatat jumlah tontonan ketiga tertinggi di platform linear dan kedua tertinggi menerusi platform Astro GO.

Perlawanan JDT menentang Kelantan yang berlangsung pada sebelah petang juga tidak menjadi masalah untuk menarik tontonan tertinggi apabila berada di kedudukan ketiga rating tertinggi menerusi platform Astro GO.

Rating-rating di semua platform ini adalah bukti bahawa perlawanan melibatkan JDT sentiasa mendapat perhatian ramai sekaligus mengesahkan fakta yang dinyatakan oleh TMJ.