Pemain pertahanan berpengalaman, Thiago Silva berpendapat bahawa rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Brazil, Neymar perlu untuk meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) dan menyertainya di Chelsea.
Neymar dikatakan tidak gembira bersama kelab gergasi Perancis tersebut selepas pemilik kelab, Nasser Al-Khelaifi mengeluarkan kenyataan terbaharu yang mengguris hati dan perasaan pemain kelahiran Sao Paulo itu.
Sehubungan dengan itu, Thiago melihat sudah tiba masanya buat Neymar untuk meninggalkan PSG sekali gus mengembangkan kariernya ke England bagi menyarung jersi Chelsea.
“Dia [Neymar] perlu datang ke Chelsea. Sekiranya Neymar akan meninggalkan PSG, dia seharusnya pergi ke sana [Chelsea],” ujar Thiago Silva menurut laporan dikeluarkan Goal.
“Jika itu yang terjadi, maka harapannya adalah yang terbaik. Kita tidak perlu untuk memperkatakan tentang kemampuan yang Neymar miliki. Selain daripada itu, dia merupakan seorang kawan yang sangat hebat.”
“Saya berharap agar perkara ini benar-benar terjadi dan tidak hanya sekadar berita tetapi saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini,” tambah Thiago Silva lagi.
Pada Ogos 2017, Neymar mengejutkan dunia bola sepak apabila bersetuju untuk meninggalkan Barcelona dan menandatangani kontrak bersama PSG dengan yuran perpindahan bernilai €222 juta.
Sepanjang beraksi bersama kelab dari Paris itu, Neymar telah membuat 144 penampilan dengan menjaringkan 100 gol serta mencipta 60 bantuan jaringan dalam semua pertandingan.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.
CEO Man City: Kami Tak Obses Dengan UCL, Akan Juarainya Nanti
Indonesia Hantar Permohonan Rasmi Jadi Tuan Rumah Piala Asia 2023