Ketua pasukan Thailand, Theerathon Bunmathan melaungkan keyakinan akan menundukkan Malaysia pada separuh akhir kedua Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Thammasat, Pathum Thani esok.
Baca Juga:
- Theerathon Bunmathan: Tak Berbaloi Lawan Pasukan Asia Tenggara
- Theerathon Bunmathan Tinggalkan Yokohama F Marinos, Kembali Ke Buriram United
- Theerathon Bunmathan Buat Penampilan Ke-100 Dalam Saingan J. League
Perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil tempoh hari menyaksikan Thailand gagal mengambil kesempatan di atas penguasaan besar permainan, sebaliknya pulang hampa susulan jaringan kemenangan oleh Mohamad Faisal Abdul Halim.
Ia merupakan kekalahan pertama buat Thailand dalam saingan kali ini selepas cemerlang dengan tiga kemenangan dan satu keputusan seri di peringkat kumpulan.
Malah, kekentalan jentera pertahanan Malaysia menyebabkan skuad kendalian Mano Polking itu gagal menemui sentuhan jaringan juga buat pertama kali dalam edisi ke-13 ini.
Theeraton yang menjadi antara nadi kekuatan Thailand tidak melihat ketinggalan satu gol sebagai masalah terlalu besar buat mereka.
Malah, beliau percaya dengan kemampuan rakan sepasukannya dalam skuad Gajah Perang itu mampu untuk bangkit bagi meraih kemenangan sekali gus mara ke perlawanan akhir.
“Kami mendominasi sebahagian besar permainan dan telah mencipta banyak peluang tetapi kami gagal untuk menjaringkan gol.”
“Kami tidak melakukan sebarang kesilapan dan mereka hanya mendapat satu peluang,” ujar Theerathon Bunmathan menurut kenyataannya di laman Twitter rasmi Piala AFF Mitsubishi Electric.
“Keputusan hanyalah 1-0 dan kami percaya mampu untuk melakar kemenangan di tempat sendiri nanti.”
Thailand yang merupakan juara enam kali kejohanan menerima nasib sama seperti Malaysia apabila beberapa tidak dapat menyenaraikan pemain-pemain utama seperti Chanathip Songkrasin, Narubadin Weerawatnodom, Supachok Sarachat, Suphanat Muenta dan Suphachai Chaided.