Barcelona akhirnya akur dalam situasi kontrak Ousmane Dembele. Di mana CEO Barcelona iaitu Mateu Alemany menegaskan bahawa:

“Jelas sekali Dembele tidak mahu meneruskan kariernya di Barcelona. Dia tak mahu menjadi sebahagian daripada projek kelab.”

“Kami sudah memberitahu Dembele bahawa dia harus pergi serta merta. Kami menjangka kami akan menjual dia sebelum 31 Januari ini.”

Masa depan Ousmane Dembele di Barcelona terus menjadi subjek panas terutama sekali sejak Xavi Hernandez mengambil alih pasukan.

Xavi sudah menyatakan bahawa Dembele akan menjadi pemain penting di dalam projeknya bersama dengan Ansu Fati dan Pedri.

Seterusnya Presiden Barcelona iaitu Joan Laporta pula yakin Dembele akan terus kekal kerana pemain itu sangat penting buat Barca. Selain itu dia juga melabel Dembele lebih bagus daripada Mbappe.

Pemain itu kemudian dilaporkan sedia untuk melanjutkan kontrak di Barcelona dengan tawaran gaji lebih rendah. Tetapi ejennya dan Dembele membuat u turn selepas Barcelona mendapatkan Ferran Torres. Dembele merasakan bahawa pengurangan gajinya hanyalah untuk kelab menambah tawaran kepada Torres.

Laporta mengingatkan Dembele bahawa jika pemain itu tidak mahu melanjutkan kontrak bersama Barcelona ianya ibarat tidak mengenang budi. Ini kerana Barcelona banyak berkorban untuk pemain itu.

Mereka membeli Dembele dengan harga €100 juta. Tetapi pemain itu terus gagal menunjukkan prestasi yang diharapkan terutama sekali kerana masalah kecederaan yang sangat banyak.

Dembele kemudian meminta gaji sekitar €800k seminggu jika Barcelona mahukan khidmatnya. Ianya adalah gaji yang dikosongkan Barcelona untuk Antoine Griezmann.

Sudah tentu Barca tidak dapat memenuhinya. Kerana kekangan FFP. Barca sendiri bergelut untuk mendaftarkan Ferran Torres walaupun sudah mengosongkan gaji Coutinho.

Xavi kemudiannya tampil dengan kenyataan bahawa beliau tidak akan membekukan Ousmane Dembele daripada beraksi walaupun pemain itu tidak melanjutkan kontrak. Sambil membayangkan pemain itu perlu berdepan dengan sorakan Nou Camp yang pasti marah dengannya.

Tetapi ejen Dembele menyatakan cerita lain. Dia mendengar pengurusan tertinggi Barca mahu Xavi membekukan Dembele daripada beraksi selama 6 bukan terakhir jika dia tak mahu melanjutkan kontrak.

Ejen Dembele, Moussa Sissoko berkata Barcelona tidak boleh sewenang-wenang menggertak mereka seperti yang mereka lakukan ke atas Ilaix Moriba.

Sissoko berkata: “Mereka tidak boleh sewenang-wenang mengugut untuk tidak menurunkan Dembele banya kerana dia tak mahu melanjutkan kontrak.”

“Ugutan seperti itu tidak berkesan untuk orang seperti kami.”

Semalam satu pertemuan di antara Xavi dengan ejen Dembele berlangsung. Dan hasilnya, Barca akhirnya akur bahawa Dembele mahu pergi.

Jadi, Barcelona sudah memberitahu Dembele bahawa dia harus dijual dan perlu mencari kelab lain.

Kini ada beberapa kelab yang dikaitkan dengan Dembele termasuk Newcastle dan juga Chelsea.