FAM menerusi laman rasminya mengumumkan bahawa tiket aksi separuh akhir 1 Piala AFF Mitsubishi Electric di Stadium Nasional Bukit Jalil menentang Thailand telah habis dijual.

Malaysia akan berdepan Thailand pada Sabtu, 7 Januari 2022, sepak mula perlawanan dijadualkan pada 8.30 malam.

Malaysia mara ke separuh akhir mengiringi Vietnam dari kumpulan B. Ini selepas Malaysia menang dengan cemerlang ke atas pasukan musuh tradisi, Singapura dengan skor 4-1 dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Sementara juara bertahan, Thailand menjuarai kumpulan A, diiringi oleh Indonesia.

Sebelum ini FAM sudah mengumumkan bahawa hanya 59,000 keping tiket sahaja yang dijual.

Ianya jauh kurang daripada kapasiti Stadium Nasional Bukit Jalil yang boleh menampung sehingga 87,000 penyokong dalam satu masa yang sama.

Hal ini kerana, 21,000 tempat duduk di belakang salah satu tiang gol terpaksa dikosongkan kerana persiapan untuk konsert artis antarabangsa, Jay Chou.

Dalam kenyataan rasminya FAM mengucapkan terima kasih kepada penyokong Harimau Malaya. Ini kerana mereka telah membuatkan tiket di Stadium Nasional Bukit Jalil habis dijual bagi aksi menentang Thailand.

FAM turut mengesahkan bahawa tiada lagi penjualan tiket tambahan akan dibuat, sama ada dari atas talian mahupun di kaunter jualan tiket di perkarangan stadium.

Adakah pasukan Malaysia akan mampu mara ke final pada edisi kali ini?

Namun fokus terlebih dahulu pastinya kepada perlawanan separuh akhir 1 ini. Kerana format Piala AFF menyaksikan ada perlawanan timbal balik untuk aksi separuh akhir dan akhir.