Terengganu FC (TFC) hari ini mengumumkan kemasukan pemain import baharu, Nurillo Tukhtasinov bagi memperkuatkan jentera tengah pasukan itu dalam baki saingan Liga Malaysia 2023.

Pemain berusia 26 tahun ini telah menandatangani kontrak perjanjian yang akan berakhir pada Disember 2024 mengisi kuota pemain import bebas untuk membantu TFC mengharungi saingan Liga Super, Piala Malaysia dan juga Piala AFC.

Sebelum ini, beliau beraksi bersama pasukan FC Neftchi Fergana di Uzbekistan Super League. Beliau pernah dinobatkan sebagai pemain tengah terbaik di saingan liga Uzbekistan.

Malah, Nurillo juga memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa bersama pasukan Kebangsaan Uzbekistan U19, U21, U23, dan pasukan utama negaranya itu.

“Beliau tidak berselindung menyatakan dirinya sangat teruja apabila mendapat tawaran untuk bersama pasukan Terengganu FC dan ini adalah merupakan kali pertama beliau bakal berhijrah ke Malaysia untuk menyertai pasukan di negara ini.

“Nurillo bakal memakai jersi bernombor 97 sempena tahun kelahirannya iaitu tahun 1997. Nurillo menyatakannya semestinya beliau sudah tidak sabar untuk beraksi bersama pasukan ini serta berazam untuk membantu pasukan ini mendapatkan kejayaan,” tulis kenyataan rasmi TFC.

Kemasukan Nurillo menjadikan beliau merupakan pemain Uzbekistan yang keenam beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini selain Sirojiddin Rakhmatullev (Kelantan United), Sirojiddin Kuziev (Kuching City), Sardor Kulmatov (Terengganu) serta dua pemain Sri Pahang, Sherzod Faziyev dan Kuvondik Ruziev.