Presiden La Liga, Javier Tebas menyatakan dia berasa malu dengan kes melibatkan Barcelona.

Baca Juga:

Tebas akhirnya bersuara tentang kes Barcelona yang didakwa membayar pengadil untuk memberikan mereka kelebihan di atas padang.

Javier Tebas ternyata tidak gembira dengan pendakwaan ke atas Barcelona.

Pendakwa raya awam Sepanyol telah memfailkan aduan ke atas kelab gergasi Catalan itu. Dua bekas presiden kelab iaitu Sandro Rossell dan Jose Maria Bartomeu turut didakwa.

Kelab dituduh membayar sekitar €7.3 juta di antara 2001 sehingga 2018. Mereka membayar wang itu kepada firma milik Enriquez Negreira, yang ketika itu memegang jawatan dalam jawatankuasa FA Sepanyol daripada 1993 sehingga 2018.

Pendakwa raya mendakwa bahawa ada perjanjian rahsia melibatkan wang agar Negreira membantu Barcelona mendapatkan kelebihan daripada pengadil ketika bermain, serta mendapat kelebihan dari segi keputusan dalam pertandingan.

Barcelona sebelum ini menafikan tuduhan ke atas mereka. Dan menyatakan bahawa mereka hanya membayar pengadil untuk mendapatkan data tertentu bagi tujuan analisis.

Barcelona menegaskan data itu akan digunakan untuk memberitahu pemain tentang corak pengadilan seseorang pengadil dan bagaimana pemain boleh bertindak berdasarkan pengadil berbeza.

Namun alasan itu jelas sekali tidak diterima oleh pihak pendakwa raya yang menyatakan bahawa, mereka mendapat tahu bahawa Negreira berterusan meminta wang daripada Barcelona atau dia mendedahkan tentang bayaran itu.

Jadi, pendakwa raya merasakan bahawa ada sebab kenapa Negreira mengugut Barcelona.

Pasukan Barcelona kemudian mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan bahawa mereka akan bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan kali ini.

Dan sekali lagi menegaskan bahawa Barcelona tidak pernah amalkan rasuah dengan membeli mana mana pengadil untuk mendapatkan keputusan yang memihak kepada mereka di atas padang.

Terbaru Javier Tebas menyatakan bahawa tindakan Barcelona itu membuatkannya rasa malu.

Javier Tebas berkata: “Kes Negreira ini bukan sahaja berisiko merosakkan nama baik Barcelona, tetapi juga La Liga sekali. Saya rasa malu dengannya.”

Javier Tebas menyatakan bahawa pihaknya sedia memberikan kerjasama dalam siasatan kes tersebut. Dan akan memainkan peranan mereka sepanjang tempoh tersebut.