Pengendali pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe meluahkan kerisauan beliau mengenai keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang perlawanan pertama play-off kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang pasukan Timor Leste malam ini.
Cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini menjadi punca kerisauan Cheng Hoe namun beliau sudah belajar sekiranya terpaksa beraksi dalam keadaan padang yang becak setelah menewaskan pasukan Nepal minggu lalu.
“Kita tengok dulu cuaca esok namun saya mengharapkan keadaan permukaan padang akan menjadi bertambah baik.
“Apapun, kita tahu pemain kita sudah biasa dengan situasi sebegitu di mana ada beberapa stadium yang padangnya tidak begitu baik dalam saingan Liga Malaysia. Kita perlu fleksibel untuk melakukan perubahan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Menjelang perlawanan malam ini, bekas pembantu Datuk K.Rajagopal itu menggesa agar anak-anak buahnya mengekalkan momentum sepertimana ketika mereka menewaskan Nepal dengan keputusan 2-0.
Cheng Hoe turut menggesa pemain negara agar tidak mengambil mudah cabaran yang bakal diberikan oleh pemain Timor Leste memandangkan mereka membuat persiapan rapi.
“Sebahagian besar pemain mereka adalah daripada skuad Piala AFF Suzuki 2018 dan kita tidak boleh memandang rendah kemampuan pemain lawan,” tambahnya.