Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe tetap optimis dengan kemampuan pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula untuk menjelmakan persefahaman tinggi bersama rakan sepasukan lain meskipun sedar tidak mudah buat dua pemain tersebut.

Kedua-dua pemain telah diberikan peluang beraksi apabila De Paula berjaya menjaringkan gol tunggal skuad negara ketika pertemuan menentang Kuwait manakala Liridon diturunkan sebagai kesebelasan utama pada aksi bertemu Bahrain [turut beraksi bertemu Kuwait].

Menurut sumber laporan Bernama, walaupun sumbangan kedua-dua pemain tersebut tidaklah begitu meyakinkan, Tan Cheng Hoe melihat perkara positif ditampilkan oleh kedua-dua pemain setakat ini.

“Kedua-dua pemain [merujuk kepada De Paula dan Liridon] terus mencuba setiap kali dalam perlawanan dan latihan, mereka memberikan 100 peratus komitmen dan kerjasama sebagai satu pasukan.”

“Saya rasa ketiga-tiga pemain [naturalisasi termasuk Mohamadou Sumareh] ini boleh beri sumbangan terbaik untuk skuad kali ini,” ujar Cheng Hoe menurut laporan dikeluarkan Bernama.

Liridon mendapat kerakyatan Malaysia pada 3 Februari 2020 manakala De Paula pula disahkan memiliki taraf yang sama, Mac lalu.

Khidmat dua pemain naturalisasi tersebut bersama Sumareh amat ditagih Tan Cheng Hoe dan skuad negara dalam menghadapi cabaran Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand dan Vietnam dalam baki kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Malaysia kini menghuni tangga kedua selepas mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan dan dua kekalahan, ketinggalan dua mata di belakang pendahulu kumpulan G, Vietnam.

Sumber