Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Malaysia meraih kemenangan dalam aksi sulung Sukan SEA 2023 apabila menewaskan Laos 5-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Prince, Phnom Penh sebentar tadi.
Skuad negara bermula dengan cukup baik apabila mengasak kubu Laos seawal minit pertama menerusi penyerang, Muhammad Aliff Izwan Yuslan tetapi sepakan gunting dilakukannya hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol lawan.
Kem negara melonjak kegembiraan pada minit keempat selepas Muhammad Ubaidillah Shamsul Fazili menolak masuk hasil percubaan awal Aliff Izwan dihalang penjaga gol, Solasak Thilavong.
Laos yang tersentak dengan jaringan awal itu memperkemaskan aksi dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-17. Namun, percubaan Chony Wenpaserth diselamatkan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Kehampaan Laos itu ditebus berselang empat minit kemudian setelah cubaan Ubaidillah untuk
memintas hantaran lintang pasukan lawan masuk
ke gawang sendiri.
Memasuki minit ke-28, Laos pula dikecewakan gol sendiri pemain mereka apabila Anantaza Siphongphan pula tertampan bola ke gawangnya sendiri ketika cuba untuk menghalang hantaran Safwan Mazlan.
Malaysia terus berusaha untuk mendapatkan jaringan seterusnya dan dua pemain gantian, Syahir Bashah dan Najmudin Akmal Kamal Akmal membalas kepercayaan diberikan untuk masing-masing menghasilkan satu gol manakala Sonexay Phanthilath menjaringkan gol sendiri sekali gus menghadiahkan kemenangan 5-1 buat skuad negara.
Kemenangan dicatatkan itu jelas amat penting buat skuad kendalian E. Elavarasan bagi menyuntik semangat para pemain menjelang pertemuan kedua menentang Thailand, 6 Mei nanti.