Ketua jurulatih skuad B-22 tahun negara, E.Elavarasan optimis dengan kemampuan anak-anak buahnya meskipun diundi dalam kumpulan B bagi temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Baca Juga:
- Elavarasan Tekad Bawa Skuad Malaysia B-22 Mara Ke Final Sukan SEA
- Sukan SEA 2023: Khidmat Luqman Hakim Ditagih Elavarasan
- Sukan SEA 2023: Elavarasan Sasar Layak Ke Final
Malaysia diundi bersama dua pasukan gergasi iaitu Thailand dan Vietnam serta dua lagi pasukan iaitu Singapura dan Laos. Peluang pasukan negara dianggap sukar untuk mara ke separuh akhir memandangkan Thailand dan Vietnam merupakan dua pasukan terbaik di peringkat Asia Tenggara ketika ini.
Keputusan Undian Sukan SEA 2023
Skuad Harimau Malaya B-22 kendalian E. Elavarasan telah diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Thailand, Singapura & Laos bagi acara bola sepak lelaki di Phnom Penh, Kemboja, 29 April hingga 16 Mei 2023.#FAM #HarimauMalaya #Cambodia2023 pic.twitter.com/k6cgT6nVbp
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) April 5, 2023
E.Elavarasan berpendapat undian untuk temasya Sukan SEA 2023 sebagai satu perkara yang menarik namun masih memberi cabaran yang tersendiri terhadap pasukan negara.
“Satu undian yang menarik dan mencabar dalam masa yang sama selepas kami diundi bersama juara bertahan, Vietnam dan pasukan pilihan pertandingan seperti Thailand.
“Di sebalik pasukan negara harus realistik dengan keputusan undian tersebut, saya kekal optimis bahawa skuad Harimau Malaya B-22 memiliki potensi sama seperti pasukan-pasukan lain di mana kami juga memiliki keyakinan untuk turun dalam kejohanan Sukan SEA 2023 di Kemboja nanti.
“Fokus dan visi kami tidak akan berubah. Sudah pasti kami akan bersiap sedia untuk berdepan kumpulan sukar ini dan tugas saya sekarang adalah memastikan pasukan ini dalam keadaan bersedia,” katanya.
Sebelum ini, Elavarasan meletakkan sasaran yang mana beliau mahu membawa pasukan negara untuk mara sehingga ke perlawanan akhir bagi edisi kali ini.
“Kali terakhir kita jadi juara adalah pada edisi 2011 dan sekarang sudah tahun 2023. Sudah pasti sasaran yang diletakkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu wajar.
“Bagi pandangan barisan kejurulatihan, sudah tentu kami akan buat yang terbaik untuk capai KPI (petunjuk prestasi utama) terbabit.
“Pada Sukan SEA yang lalu kita layak sehingga ke separuh akhir dan menamatkan kedudukan di tempat keempat. Jadi sudah tentu dengan wajah [pemain] dan barisan kejurulatihan baharu jadi harapannya lebih tinggi dan kami kami melakukan yang lebih baik daripada tahun lalu.
“Jadi, saya merasakan layak ke perlawanan akhir adalah sangat penting bagi kami. Pemain dan jurulatih juga sangat bermotivasi untuk mencapainya,” katanya.