Thailand menepati ramalan dengan meraih pingat emas futsal lelaki Sukan SEA 2021 selepas berjaya menundukkan tuan rumah, Vietnam 2-0 pada aksi terakhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Ha Nam, sebentar tadi.
Kemenangan hasil dua gol pada babak pertama itu menyaksikan Thailand menamatkan saingan di Hanoi dengan tiga kemenangan dan satu keputusan seri untuk mengumpul 10 mata, dua mata di hadapan pemenang pingat perak, Indonesia.
Manakala, Vietnam yang mendapat sorakan padu penyokong tempatan meraih pingat gangsa hasil dua kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan untuk mengumpul tujuh mata.
Thailand yang memburu pingat emas kelima berturut-turut dalam saingan serantau itu tidak menunggu lama apabila berjaya mendapatkan jaringan pembukaan seawal minit kedua menerusi peledak berbisa, Muhammad Osamanmusa.
Mendapat umpanan daripada Ronnachai Jungwongsuk memberikan ruang buat Osamanmusa untuk melakukan rembatan dari sudut sukar yang tidak mampu dihalang penjaga gol Vietnam, Ho Van Y.
Jaringan tersebut jelas menyemarakkan lagi semangat juang anak buah Carlos Cesar Nunez Gago itu untuk menambah jaringan dan ia membuahkan hasil berselang lapan minit kemudian.
Berpunca daripada serangan balas dimulakan Apiwat Chaemcharoen, beliau kemudiannya melorongkan dengan baik bola buat Peerapat Kaewwilai lalu melakukan rembatan yang mengelirukan Van Y bagi mengukuhkan kedudukan.
Selain daripada dua gol tersebut, Katawut Hankampa boleh diangkat sebagai wira buat Thailand apabila penjaga gol berpengalaman itu cukup tangkas dalam menggagalkan usaha Vietnam untuk mendapatkan jaringan.
Lebih manis untuk diperkatakan tentang skuad futsal Thailand, kejayaan kedua diraih mereka selepas menjulang trofi Kejuaraan Futsal AFF bulan lalu adalah kesinambungan daripada proses transisi pemain muda yang semakin menampakkan hasil di pentas serantau.