Thailand terlepas peluang untuk merampas kedudukan teratas acara futsal lelaki Sukan SEA 2021 selepas terikat 1-1 pada aksi ketiga bertemu Indonesia di Stadium Tertutup Ha Nam, Vietnam sebentar tadi.
Indonesia yang tampil dengan nafas baharu sejak beberapa bulan kebelakangan ini jelas tidak memberikan laluan mudah buat Thailand untuk meraih kemenangan.
Sama seperti yang berlaku ketika Kejuaraan Futsal AFF 2022 tempoh hari dimana penjaga gol Indonesia, Muhammad Albagir menjadi watak utama dalam menghalang Thailand untuk mendapatkan lebih banyak gol.
Beliau tangkas dalam menafikan percubaan-percubaan menarik dilancarkan para pemain Thailand termasuklah dari penjaga gol mereka, Katawut Hankampa.
Hankampa turut memainkan peranan penting dalam menggagalkan usaha Indonesia untuk melakar kemenangan yang diidamkan.
Kekentalan kedua-dua penjaga gol terhenti pada minit ke-23 apabila Albagir yang bertindak keluar dari kawasannya untuk menghalang gerakan Ronnachai Jungwongsuk tidak berhasil apabila pemain tinggi lampai tersebut bijak melakukan tolakan awal ke arah rakan sepasukannya.
Situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol itu membuatkan pemain Indonesia gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya bagi membolehkan Apiwat Chamcharoen mudah menolak masuk bola untuk gol pembukaan buat Thailand.
Kelebihan itu hanya bertahan beberapa saat sahaja selepas Indonesia kembali menyamakan kedudukan hasil gerakan lincah Syauqi Saud yang melepasi kawalan Kritsada Wongkeao dan kemudiannya melepaskan rembatan ke arah pintu gol.
Percubaan tersebut berjaya dinafikan Hankampa tetapi Ardiansyah Runtuboy lebih pantas melakukan rembatan padu untuk menceriakan penyokong skuad Garuda itu.
Keputusan seri yang dicatatkan menyaksikan Indonesia masih kekal di tangga teratas dengan lapan mata tetapi skuad kendalian Mohammad Hashemzadeh itu sudah pun melengkapkan kesemua empat perlawanan.
Thailand yang berbaki satu perlawanan di tempat kedua dengan tujuh mata manakala tuan rumah, Vietnam akan berhadapan dengan Myanmar sebentar nanti dalam usaha mereka untuk turut mengumpul tujuh mata.
Sekiranya berjaya menundukkan Myanmar, pertembungan Vietnam menentang Thailand pada 20 Mei nanti bakal menentukan persaingan menarik warna pingat yang bakal dimenangi oleh ketiga-tiga negara tersebut ketika Malaysia dan Myanmar sudah tidak memiliki peluang.