Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan penjaga gol mereka, Suffian Abdul Rahman berada dalam keadaan stabil setelah mengalami serangan jantung pada minggu lalu.
Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan penjaga gol yang sinonim dengan panggilan Tiger itu kini berada dalam keadaan stabil setelah mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Hishamuddin berkata: Suffian dirawat kerana mengalami masalah jantung, namun dia berada dalam keadaan stabil, kami harap seluruh peminat setia mendoakan penjaga gawang itu pulih seperti biasa dan kembali bersama pasukan dalam kempen Piala Malaysia yang sedang berlangsung,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Khamis lalu, penjaga gol berusia 41 tahun itu dimasukkan ke wad di HSNZ, namun pada waktu itu PBSNT belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai penyakit yang dialami oleh Suffian Abdul Rahman.
Suffian merupakan tonggak utama Terengganu FC dalam kejayaan mereka mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu dan ketiadaan beliau memberikan sedikit masalah untuk pengendali pasukan, Nafuzi Zain.
Pada masa yang sama, pengurus pasukan TFC, Ahmad Shahrizal Yahya ketiadaan Suffian tidak begitu meresahkan kem pasukan yang sedang mengharungi kempen Piala Malaysia.
Shahrizal berkata: Sekarang kita ada tiga penjaga gol lagi, jadi dari segi perancangan dalam saingan Piala Malaysia kami tidak berdepan masalah,” kata Shahrizal yang menyatakan tiga penjaga gol skuad itu juga mampu menggalas tugasan diberikan.
Tiga lagi penjaga gol TFC adalah Muhammad Ilham Amirullah Razali, Wan Azraie Wan Teh dan Shafawi Mohamad.