Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) semalam telah memperkenalkan stadium baharu lebih canggih berkapasiti 10,000 penonton yang bakal dibina di Putrajaya dengan kerjasama Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Baca Juga:

Ia dinamakan sebagai Stadium AFC dan turut dilengkapi dengan grandstand, kawasan boulevard dan atrium untuk penonton, pejabat pentadbiran dan tempat letak kereta bawah tanah.

Stadium ini juga akan mempunyai padang bola sepak berkualiti tinggi mengikut piawaian FIFA.

Antara kemudahan lain yang terdapat di stadium ini ialah kafeteria, ruangan media dan bilik pengulas media serta bilik VIP.

Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa berkata, dengan adanya Stadium AFC, badan induk itu berpeluang menjalankan lebih banyak program dan kursus bola sepak yang melibatkan pengadil, jurulatih, pemain dan orang awam.

“Ibu pejabat AFC di sini menjadi lokasi penting pembangunan melalui pelbagai latihan, kursus, bengkel dan seminar dalam bidang teknikal dan pengadilan dan kini dengan adanya Stadium AFC, kami mempunyai potensi untuk melakukan lebih banyak lagi.

“Bagi pihak keluarga bola sepak Asia, saya harus berterima kasih kepada FIFA atas kesediaan mereka untuk melakar era baharu kemajuan bersama AFC dan juga kerajaan Malaysia atas dedikasi terhadap pembangunan bola sepak di Asia, bukan sahaja melalui projek ini tetapi juga kerana sokongan yang telah diberikan sejak beberapa dekad,” kata Shaikh Salman dalam kenyataan rasmi di laman web AFC.com

Pembinaan stadium itu akan dijana daripada peruntukan FIFA di bawah Program FIFA Forward untuk meneruskan misi AFC memperkasakan bola sepak Asia.

Persatuan Bolaepak Malaysia (FAM) dan kerajaan Malaysia juga turut terlibat dan bertanggungjawab menyediakan tapak stadium dan sokongan logistik kepada projek tersebut.