Daripada tindakan melulu Jens Lehmann hingga kepada gol ‘Nayim dari garisan tengah’, Arsenal perlu melenyapkan tiga dekad kesengsaraan di final Eropah jika mereka mahu memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama.

Baru sahaja merangkul gelaran pertama mereka di England sejak 2004, pasukan Mikel Arteta sedang bersiap sedia untuk menentang Paris Saint-Germain dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Budapest pada hari Sabtu.

Membawa pulang mahkota Liga Juara-Juara pertama kelab itu hanya 12 hari selepas kejayaan Liga Perdana yang lama dinanti-nantikan mereka akan menjadikannya musim terhebat dalam sejarah gemilang Arsenal.

Namun, skuad Gunners menuju ke Puskas Arena dengan dihantui bayangan kegagalan mereka di Eropah pada masa lalu.

Sejak Tony Adams  menjulang Piala Pemenang Piala (Cup Winners Cup) selepas Alan Smith memastikan kemenangan 1-0 ke atas Parma pada tahun 1994, pasukan dari utara London itu telah menanggung empat kekalahan pahit dalam perlawanan akhir peringkat benua.

Pada tahun 1995, mereka kembali ke final Piala Pemenang Piala (Cup Winners Cup), tewas 2-1 kepada Real Zaragoza secara dramatik apabila Nayim mengejutkan penjaga gol Arsenal, David Seaman dengan lambungan yang menakjubkan dari jarak 40 ela pada minit terakhir masa tambahan.

Menambah pedih luka Arsenal, Nayim sebelum ini pernah bermain untuk musuh tradisi mereka, Tottenham, yang mana para penyokongnya telah meraikan detik itu dengan melaungkan “Nayim from the halfway line” sejak itu.

Lima tahun kemudian, Arsene Wenger membawa Arsenal ke perlawanan akhir Piala UEFA, dengan kemenangan dijangka menentang Galatasaray di Copenhagen.

Namun, pasukan kerdil Turki menghampakan Thierry Henry , Dennis Bergkamp dan rakan-rakannya dalam keputusan seri 0-0 sebelum menang 4-1 menerusi sepakan penalti.

Pada 2006, Arsenal melangkah ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama.

Bagaimanapun, anak buah Wenger meninggalkan Paris dalam kekecewaan selepas penjaga gol mereka, Lehmann, dibuang padang kerana bergegas keluar dari kawasan penaltinya untuk mengasari Samuel Eto’o pada awal separuh masa pertama.

Meskipun beraksi dengan 10 pemain, Arsenal mendahului menerusi jaringan Sol Campbell, namun gol-gol lewat daripada Eto’o dan Juliano Belletti menghancurkan harapan mereka.

Unai Emery telah memenangi Liga Europa (Europa League) sebanyak lima kali sebagai pengurus Aston Villa, Villarreal dan Sevilla, tetapi satu-satunya kekalahannya di final kejohanan itu adalah bersama Arsenal, yang dibelasah 4-1 oleh Chelsea di Baku pada 2019.

Arsenal juga tewas dalam final Piala Pemenang Piala 1980 menentang Valencia, dengan satu-satunya trofi Eropah lain mereka diperoleh daripada Piala Pesta Antar Bandar (Inter-Cities Fairs Cup) yang sudah lama dilupakan pada tahun 1970.

– ‘Ia sukar dipercayai’ –

Menghapuskan badi itu akan menjadi kemuncak kegemilangan bagi Arteta, yang telah menamatkan kemarau trofi enam tahun Arsenal dengan memimpin mereka meraih gelaran Liga Perdana ke-14 kelab itu.

Selepas kemenangan 2-1 pada Ahad di Crystal Palace dalam perlawanan terakhir mereka musim domestik, Arteta menyertai pemain dan kakitangan belakang tabir Arsenal untuk meraikan di sebuah restoran Mediterranean di Mayfair, London pada malam Ahad.

Parti itu berlarutan sehingga jauh malam di beberapa lagi lokasi tumpuan selebriti, dengan Declan Rice kelihatan menyanyikan lagu ‘Ice Ice baby’ yang telah menjadi lagu kebangsaan peminat Arsenal  untuk pemain tengah berpengaruh mereka.

Hanya beberapa jam selepas menjulang trofi di Selhurst Park yang bermandikan cahaya matahari, kapten Arsenal Martin Odegaard  merumuskan suasana kegembiraan yang meluap-luap menjelang perjalanan ke Budapest.

“Semua orang sangat gembira. Kami sedang menjiwai impian, memenangi Liga Perdana dan berada di perlawanan akhir Liga Juara-Juara,” katanya.

“Kini kami ada final yang besar. Jika kami mampu melakukannya, ia akan menjadi sesuatu yang luar biasa.”

Arteta mengganggu keraian itu untuk memastikan para pemainnya kekal fokus, memuji perpaduan dalam skuad dan mendesak mereka untuk meneruskan kejayaan gelaran mereka dengan menakluki Eropah.

“Kita perlukan tenaga itu mengalir. Melawannya akan menjadi satu kesilapan besar,” kata warga Sepanyol itu.

“Kita sudah bincangkan apa yang perlu kita lakukan di Budapest , bagaimana kita akan menggunakan kesemua tenaga luar biasa yang sedang kita semua bawa menuju ke perlawanan akhir itu.

“Kami tidak sabar-sabar untuk menulis lembaran baharu dalam sejarah kelab kami dan menjuarai Liga Juara-Juara.”

Juara bertahan PSG menampilkan cabaran yang sengit selepas menewaskan Arsenal dengan agregat 3-1 di peringkat separuh akhir musim lalu.

Namun, selepas lebih 30 tahun keresahan Eropah, Arteta tahu keabadian berada dalam genggaman mereka.

“Jika kita menang satu lagi, kita adalah juara Eropah — semudah itu,” kata beliau.