Skuad Chelsea dilaporkan telah hilang rasa hormat ke atas Graham Potter, membuatkan pengurus itu kehilangan pengaruh di bilik persalinan.

Itu menjadi sebab utama kepada pemecatannya.

Pengurus Inggeris itu dipecat pada malam Ahad selepas memenangi hanya 12 daripada 31 perlawanannya ketika mengendalikan The Blues dalam semua pertandingan.

Kekalahan 2-0 mereka kepada Aston Villa pada hari Sabtu mengundang desakan dan gesaan daripada penyokong agar dia dipecat ketika pasukan Unai Emery menolak Chelsea keluar daripada 10 teratas.

Kenyataan kelab berbunyi: “Chelsea FC mengumumkan bahawa Graham Potter telah meninggalkan kelab itu. Graham telah bersetuju untuk bekerjasama dengan kelab untuk memudahkan peralihan yang lancar.”

“Dalam masanya bersama kelab, Graham telah membawa kita ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, di mana kami akan menentang Real Madrid.”

“Chelsea ingin mengucapkan terima kasih kepada Graham atas segala usaha dan sumbangannya dan mendoakan kesejahteraannya untuk masa depan.”

Bekas pengurus Brighton itu kurang mendapat simpati daripada peminat, malah pemain Chelsea.

Dia terpaksa membentuk pasukan yang baharu selepas Chelsea membawa masuk 17 pemain baharu dalam dua jendela perpindahan terakhir.

Ia kelihatan seperti Potter telah berjaya mendapatkan rentak sebelum rehat antarabangsa dengan tiga kemenangan berturut-turut, termasuk kemenangan ke atas Borussia Dortmund dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Bagaimanapun, kekalahan mereka kepada Villa adalah kekalahan yang sukar diterima Chelsea yang memutuskan untuk memecatnya.

Dan Evening Standard menegaskan bahawa Potter telah kehilangan rasa hormat daripada skuad Chelsea dengan beberapa pemain memberinya ‘nama samaran yang tidak enak’ dan ada yang merujuknya sebagai Harry Potter ataupun Hogwarts.

Potter ‘bergelut untuk menggunakan kuasa pengurus ke atas skuad yang berkembang kepada 32 pemain’.

Laporan itu menambah: ‘Mesyuarat analisis di Cobham dikatakan sangat sunyi, dengan pemimpin dalam skuad tidak secara semula jadi bersuara atau mengumpulkan kumpulan.”

Satu sumber lagi menyifatkan bahawa pertemuan dengan pemain berlaku terlalu banyak salah faham, dan gagal mencari penyelesaian atau titik persefahaman tentang isu taktikal.

Dan The Independent menambah bahawa ‘teras’ skuad Chelsea ‘tidak pernah menganggap Potter secara serius seperti yang sepatutnya sebagai pengurus Chelsea’.

Ini selepas mereka melihat Potter seolah olah tidak tahu apa yang sedang dilakukannya, berdasarkan pemain yang dia bawa masuk ataupun persetujui untuk dibawa masuk.

Kredibiliti Potter dipersoalkan dan membuatkan semakin ramai pemain hilang rasa hormat ke atasnya.