Setelah menempa kejutan terbesar dalam dunia bola sepak dengan membantu Leicester City memenangi Liga Perdana Inggeris pada musim 2015/2016, penyerang skuad kebangsaan Jepun, Shinji Okazaki kini sah menyertai kelab yang beraksi dalam saingan Segunda Division Sepanyol, Malaga CF.

Pemain berusia 33 tahun itu dilepaskan oleh Leicester City setelah empat musim beraksi di Stadium King Power. Okazaki memainkan peranan penting dalam kejayaan Leicester memenangi Liga Perdana Inggeris dimana beliau menjaringkan lima gol dalam 36 perlawanan sepanjang musim 2015/2016.

Sepanjang beraksi bersama Leicester, Okazaki menjadi pemain kegemaran peminat kerana work rate beliau di bahagian serangan dan sentiasa memberikan 100% apabila diturunkan di samping seorang lagi penyerang, Jamie Vardy. Namun, apabila Claudio Ranieri dipecat, Shinji sedikit bergelut untuk mendapatkan masa bermain dan beliau kerap memanaskan bangku simpanan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaga, Okazaki mencatat sejarah sebagai pemain Jepun pertama yang meyertai kelab yang mendapat gelaran Los Boquerones itu. Shinji menandatangani kontrak selama semusim dimana beliau akan menyarung jersi Malaga sehingga penghujung saingan musim 2019/2020.

Selain mempunyai karier yang cemerlang di peringkat kelab, pencapaian Shinji Okazaki bersama pasukan kebangsaan Jepun juga tidak kurang hebatnya. Bekas pemain Shimizu S-Pulse, VfB Stuttgart dan 1. FSV Mainz 05 ini membuat 119 penampilan dan menjaringkan 50 gol setakat ini untuk skuad The Samurai Blue.

Malaga
Sumber Gambar: Malaga CF

Dalam saingan Segunda Division musim 2018/2019, Malaga menamatkan saingan di tangga ketiga dan mereka layak untuk beraksi dalam peringkat play-off bagi merebut tempat untuk beraksi dalam saingan La Liga musim 2019/2020. Akan tetapi, hajat Malaga untuk menyertai Osasuna dan Granada tidak kesampaian apabila mereka tewas kepada Real Mallorca sekaligus memaksa Malaga untuk sekali lagi beraksi di Divisyen kedua liga bola sepak Sepanyol itu.