Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh tidak mahu pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia menggunakan alasan pandemik COVID-19 sebagai ‘perisai’ kepada permasalahan tunggakan gaji dihadapi.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Serbegeth yang turut mesra dengan panggilan Shebby tidak menolak kenyataan tersebut dan memahami COVID-19 memang memberikan kesan kepada kewangan pasukan.
Bagaimanapun, beliau tetap menganggap serangan virus itu tidak boleh berterusan dijadikan alasan kerana isu tunggakan gaji dalam kalangan pasukan bukanlah perkara baharu dalam bola sepak Malaysia.
Malah, perkara itu turut berlaku sebelum transisi daripada persatuan (FA) ke kelab (FC) dan setiap tahun bagaikan satu perkara wajib apabila sudah pasti akan ada sahaja cerita kurang enak tentang pembayaran gaji pemain.
“Ketika ini kebanyakan pasukan menggunakan isu pandemik Covid-19 dan mungkin ia satu alasan kukuh tetapi sampai bila nak gunakan sedangkan masalah ini sudah berlaku sebelum pandemik lagi,” ujar Serbegeth bercakap kepada wakil Utusan Malaysia.
“Walaupun swasta, ia hanya pertukaran nama tetapi yang lain-lain sama inilah buktinya (masalah tunggakan gaji berlaku) lagi.”
“Mungkin tiba masa pada yang terlibat dalam isu ini jangan memalukan nama negara, kalau tidak berupaya tinggalkan sahaja jangan duduk situ tukar nama itu, ini tetapi kekal (masalah) sama.”
Selain itu, Serbegeth yang sentiasa menjadi pengkritik kepada bola sepak tanah air melihat beberapa langkah ke belakang perlu diambil bagi memulihkan masalah kian meruncing ini.
“Saya rasa kita mungkin kena kembali kepada liga Semi Pro. Kita ambil dua, tiga atau lima tahun akan datang sebelum kembali semula ke status profesional.”
“Bak kata pepatah Inggeris ‘sometimes you have to take two steps back to take two forward’.”
“Adakah memalukan? Tidak…lebih memalukan jika gaji tidak bayar dan status tetap profesional. Bersihkan imej dulu, bila semua pasukan sudah stabil, kembali semula ke profesional,” tambah Serbegeth Singh lagi.
Teruskan membaca artikel dibawah yang telah kami sediakan untuk anda.
Azraai Khor Abdullah: Liga M3 Atau Piala Presiden Lebih Baik Buat Skuad Projek FAM-MSN