Barcelona mengejutkan Real Madrid apabila mereka membelasah pendahulu liga itu dengan kemenangan 4-0 pada hari Ahad, di mana Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan dua gol dan 1 assist dalam debut el clasico sulung beliau di Santiago Bernabeu.
Perlawanan itu dianggap sebagai ujian sebenar dalam penilaian prestasi Barca yang semakin meningkat di bawah kendalian Xavi Hernandez dan mereka lulus dengan cemerlang.
Mereka malah memalukan seteru dan musuh tradisi mereka Real Madrid di hadapan penyokong Real Madrid sendiri. Sekaligus menjadi amaran awal kepada kebangkitan Barcelona untuk kembali mencabar kejuaraan pada musim akan datang – menurut Gerard Pique.
Kekalahan ini terus memberikan tanda soal mengenai masa depan Carlo Ancelotti, dengan Madrid dikalahkan secara taktikal dan teknikal oleh Barca kendalian Xavi, yang lebih pantas, lebih fluid dan, boleh menang lebih besar.
Sebelum ini Ancelotti dikritik oleh Perez kerana pendekatan bertahannya di Paris ketika menentang PSG yang dianggap tidak sihat dalam usaha Real Madrid mahu membawa bintang besar seperti Mbappe dalam ke Bernabeu.
Namun kritikan ke atas Ancelotti menjadi reda apabila Real Madrid memenangi perlawanan kedua di Bernabeu dan mara ke suku akhir UCL.
Real Madrid tanpa Karim Benzema dan Ferland Mendy yang cedera
Barcelona menunjukkan prestasi luar biasa mereka dengan kemenangan ke atas Real Madrid.
Aubameyang menjaringkan 2 gol. Manakala 2 lagi gol adalah menerusi Ferran Torres dan juga Ronald Araujo. Selain daripada Aubameyang, pemain kontroversi mereka, Ousmane Dembele terus menunjukkan prestasi cemerlangnya.
Tidak lama selepas wisel penamat di sini, Pique menulis tweet: “Kami sudah kembali.”