Selepas menamakan Tan Cheng Hoe sebagai pengendali baharu pada minggu lalu, Selangor terus berusaha keras untuk memantapkan lagi pasukan dengan melantik Dennis Bekking bagi menjawat jawatan Pengarah Teknikal.

Menerusi pengumuman rasmi dikeluarkan laman sesawang rasmi kelab tersebut, kehadiran Bekking disifatkan sebagai strategi utama dan selaras dengan aspirasi Selangor dalam terus membina asas yang kukuh untuk masa hadapan.

Difahamkan, beliau akan bertanggungjawab ke atas hal-hal teknikal yang melibatkan pasukan pembangunan termasuk Selangor B23, Selangor B20, Selangor B18, dan pasukan bola sepak Sekolah Sukan Negeri Selangor.

Selain itu, beliau yang akan memulakan tugasan rasmi pada 1 Januari 2023 itu bakal memberikan tumpuan dalam membangunkan falsafah bola sepak Kelab, mengukuhkan jabatan sains sukan, menyelia pendidikan jurulatih serta memberi tumpuan kepada pengambilan serta pembangunan bakat muda.

Bekking yang kini berusia 45 tahun nyata bukanlah asing dalam kancah bola sepak tanah air apabila beliau pernah bertindak selaku Pengarah Akademi Mokhtar Dahari pada penghujung tahun 2019.

Selepas bergelar pemain bersama kelab dalam saingan Liga Belanda iaitu Go Ahead Eagles, Bekking kemudiannya berjaya menamatkan pengajian di Akademi Persatuan Bola Sepak Diraja Belanda (KNVB).

Sehubungan dengan itu, beliau memiliki kelayakan seperti Pengajar Jurulatih KNVB, UEFA A dan Pengarah Akademi Pro dimana beliau turut berpengalaman sebagai Pengarah Akademi di KNVB dan FC Twente, Pengarah Sukan Go Ahead Eagles serta memulakan karier kejurulatihan bersama PEC Zwolle di pelbagai peringkat umur.

Beliau juga merupakan kelulusan Sarjana dalam bidang Pengarah Sukan dari Universiti Salford yang memberikan fokus kepada pengurusan Organisasi Berprestasi Tinggi serta Inovasi & Perubahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon melihat kehadiran Dennis Bekking mampu untuk membawa perubahan buat kelab tersebut.

‚ÄúPengalaman luas beliau di Belanda sebagai Pengarah Sukan dan Pengarah Teknikal serta pemahaman yang baik tentang bola sepak Malaysia sejak beliau menjadi Pengarah AMD akan membantu beliau memperkenalkan dan mengintegrasikan kaedah bola sepak moden kepada jurulatih kami dan seterusnya membangunkan sistem pembangunan bakat di Selangor FC.”

“Semangat, komitmen dan personaliti beliau pasti akan membawa perubahan positif dalam mewujudkan budaya dan persekitaran berprestasi tinggi di kalangan pasukan pembangunan Selangor FC.”

Jawatan Pengarah Teknikal Selangor sebelum ini dipegang oleh pengendali dari Jerman, Michael Feichtenbeiner.

Sumber