Ketua jurulatih Selangor, B.Sathianathan menegaskan pasukan bimbingannya layak untuk meraih tiga mata pada perlawanan saingan kumpulan D Piala Malaysia 2019 menentang Melaka United semalam setelah barisan pemain menampilkan aski yang memberangsangkan.
Menurut Sathia, secara keseluruhan anak-anak buahnya berjaya mengawal perlawanan dan mereka bijak untuk menyerap segala tekanan yang diberikan oleh pemain Melaka khususnya setelah menjaringkan gol pertama. Sathia turut lega pintu gol Selangor tidak dibolosi.
Sathianathan berkata: Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada pemain kerana tidak dibolosi walaupun pemain lawan memberikan tekanan bertubi-tubi pada minit-minit terakhir permainan. Saya lihat pemain saya berjaya menguasai permainan.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati kerana kita mencatat kemenangan dan kami sememangnya layak untuk membawa pulang mata penuh. Bukan mudah untuk berkunjung ke Hang Jebat dan mengutip tiga mata. Saya juga berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan beberapa pemain,” kata B.Sathianathan.
Ketika ditanya mengenai kecederaan yang dialami oleh Syazwan Zainon, Sathia mahu menunggu ujian dilakukan terlebih dahulu terhadap pemain sayap itu bagi mengetahui sama ada beliau dapat diturunkan pada perlawanan seterusnya atau sebaliknya.
“Wan Kapet (Syazwan) nampaknya cedera. Dia mengalami kecederaan dari separuh masa pertama dan apabila saya mahu mengeluarkan beliau, Syazwan menegaskan beliau mahu terus beraksi dan membantu pasukan. Saya nak tunggu sehingga hari Isnin. Jika esok kaki Syazwan masih bengkak, maka kita akan hantar beliau untuk melakukan MRI,” tambahnya.
61' | GOL ENDRICK!@FASelangorMy berjaya membuka tirai jaringan di Stadium Hang Jebat dengan sepakan tenang oleh Endrick dos Santos.#PialaMalaysia2019#MFLLive #MELSEL pic.twitter.com/xxiIcpCYkq
— MFL LIVE (@MFL_Live) August 8, 2019
Pada perlawanan semalam, pemain import Selangor, Endrick Dos Santos menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada separuh masa kedua. Endrick bijak menolak masuk bola setelah menerima hantaran daripada K.Prabakaran yang membuat larian solo di sebelah kiri.
Pada perlawanan peringkat kumpulan D seterusnya, Selangor akan berdepan PDRM manakala Melaka United pula akan berdepan pasukan bimbingan Nidzam Jamil, Felda United.