Rakan Kongsi Liga menyambut baik penstrukturan semula Liga Malaysia (Liga M) yang dilaksanakan oleh Malaysian Football League (MFL) dalam memastikan saingan liga yang lebih berdaya saing bermula musim depan.
Penstrukturan semula piramid bola sepak domestik itu diputuskan hasil persetujuan Rakan Kongsi Liga dalam Mesyuarat Luar Biasa (EGM) semalam membabitkan enam aspek utama termasuklah saingan Liga Super yang akan melibatkan penyertaan 18 pasukan berbanding 12 pasukan pada musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menyifatkan dengan pertambahan pasukan bakal menyaksikan juga pertambahan perlawanan yang sekali gus akan memberi impak positif terutamanya kepada aspek nilai komersial.
“Saya setuju dengan penambahan 18 pasukan di mana ini adalah keputusan sangat baik untuk melihat perlawanan dalam liga lebih banyak berlangsung.
“Lagi satu kita bayar gaji pemain pun bukan murah, jadi kalau boleh kita nak tengok mereka beraksi setiap perlawanan, sebab apabila kita mengadakan perlawanan, itulah masanya untuk kita menjana balik pendapatan.
“Setiap perlawanan itu ibarat macam kita mengadakan acara dan program di mana orang dapat datang stadium, jual jersi, dapat menemukan penyokong dan pemain, selain hasil penyiaran pun dapat berjalan lebih banyak.
“Jadi, banyak benda bagus apabila lagi banyak pasukan beraksi di mana Liga Super ini sebenarnya patut kita banggakan untuk dinaikkan taraf,”jelasnya.
Dalam pada itu, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman pula menganggap ini adalah masa yang tepat untuk semua pasukan mengambil langkah berani dalam mengembangkan lagi persaingan di pentas Liga Super dengan penambahan sebanyak 18 pasukan.
Jelasnya, MFL telah membuat satu keputusan yang cukup positif untuk meletakkan saingan Liga Malaysia berada setaraf dengan liga luar negara.
“Bola itu ibarat satu perniagaan, kalau kita ada aksi di laman sendiri pada saya bagus untuk pendapatan kelab dan juga baik untuk pemain sebab kalau tak banyak perlawanan, bosan juga.
“Bagi saya, bila ada 12 pasukan sahaja, tak sampai lagi tahap untuk berada setaraf di antarabangsa sebab kebanyakan pasukan di ranking 50 dan 100 dunia pun, purata lebih kurang 17 hingga 18 pasukan yang bertanding.
“Jadi kenapa kita nak main dengan 12 pasukan sahaja dan inilah benda yang kami sambut baik daripada MFL”, katanya.
Tambah beliau, Kelantan FC yang kini menduduki tangga teratas Liga Premier mensasarkan keuntungan lebih besar pada jangka masa panjang dan peluang itu tampak lebih cerah dengan penstrukturan Liga Malaysia.
Norizam berkata, Kelantan FC mampu menjana pendapatan RM8 juta hingga RM10 juta selain tajaan syarikat luar dengan penambahan 34 perlawanan liga.
Selain penambahan pasukan di Liga Super, antara aspek lain yang turut diputuskan adalah saingan Liga Premier akan dimansuhkan dalam tempoh tertentu dan, Liga Simpanan (Reserve League) akan diperkenalkan.
Juga, MFL telah menetapkan format baharu pendaftaran sembilan (9) pemain import diberikan kepada kesemua pasukan Liga Super bermula tahun 2023 di mana MFL masih kekal dengan hanya membenarkan 5 pemain import (iaitu 3+1 (Asia)+1 (ASEAN)) diatas padang pada satu satu masa dengan hanya tambahan seorang pemain di bangku simpanan.
Seterusnya adalah format Piala FA dan Piala Malaysia akan dirumus semula dengan peningkatan perlawanan liga dan juga perubahan kalendar Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan dan akhir sekali penstrukturan semula dan peningkatan perlawanan Piala Belia dan Piala Presiden bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).