Selangor melengkapkan kuota sembilan orang pemain import apabila membawa masuk pemain skuad kebangsaan Ghana, Richmond Boakye-Yiadom sekali gus dalam usaha memantapkan jentera serangan kelab tersebut.
Baca Juga:
- ‘Open Play’ Punca Selangor Tewas Kepada JDT
- Piala FA 2023: JDT Tiada Masalah Ke Final, Atasi Selangor 4-0
- Tidur Skuad Selangor Terganggu Angkara Bunga Api
Menurut sumber laman sesawang rasmi Selangor FC, Boakye merupakan penyerang yang memiliki pengalaman luas beraksi dalam saingan liga bola sepak di Eropah.
Memulakan kariernya bersama kelab Serie A iaitu Genoa. Musim keduanya menyaksikan beliau telah dipinjamkan ke Sassuolo sehingga membawa kelab tersebut muncul juara Serie B dimana Boakye telah menjaringkan 11 gol dalam 32 perlawanan bersama pasukan tersebut.
Selain itu, pemain berusia 30 tahun tersebut juga pernah menyarung jersi Atalanta, Elche (Sepanyol) dan Red Star Belgrade serta turut berkelana ke China untuk bersama Jiangsu Suning pada tahun 2018.
Di peringkat antarabangsa pula, Richmond Boakye-Yiadom membuat 19 penampilan antarabangsa yang menyaksikan beliau beraksi pada dua perlawanan kelayakan sehingga Ghana layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar.
Mengulas mengenai kehadiran ke Selangor, beliau bertekad mahu memberikan sumbangan berkesan buat pasukan yang kini berada di tangga kedua Liga Super Malaysia 2023 itu.
“Saya akan berlatih bersungguh-sungguh, berikan komitmen yang besar kepada pasukan untuk mendapat kemenangan bersama. Bagi saya tanpa peminat, tidak wujudnya pasukan. Saya di sini untuk menjadi sebahagian daripada peminat dan kelab. Untuk mencipta sejarah dan meninggalkan legasi.’’
“Saya juga berhasrat untuk membuka peluang membuat sesuatu yang lebih baik supaya pemain dari Ghana dan Afrika akan mempunyai lebih banyak peluang untuk bermain di sini,” ujar Richmond.