Laman keramat skuad Harimau Malaya iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil kini boleh digunakan oleh pelajar sekolah bagi acara hari sukan bermula pada Oktober ini.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dimana Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi tawaran istimewa kepada semua sekolah menggunakan Stadium Nasional secara percuma bagi tempoh dua tahun khas untuk penganjuran hari sukan.

Mana-mana sekolah yang berminat untuk menggunakan fasiliti di Stadium Nasional Bukit Jalil perlu bergantung kepada jadual tempahan yang nanti akan dikeluarkan.

“Ini selaras dengan pengumuman sebelum ini bahawa kita nak fokus olahraga sebagai satu sukan pembangunan akar umbi di peringkat sekolah. Saya mahu murid rasai pengalaman berlari 100 meter di SNBJ kerana ia mungkin beri inspirasi kepada mereka untuk menjadi atlet,” katanya.

Selain SNBJ, PSM turut memberi tawaran penggunaan secara percuma dua venue lain iaitu Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara kepada pihak sekolah.

Tambah Hannah, Beliau berkata, syarikat pengeluar makanan berkhasiat juga boleh mengiklankan produk mereka sekiranya terdapat hari sukan sekolah di tiga venue tersebut.

“Mereka boleh bincang dengan PSM mengenai kadar untuk pengiklanan, sekurang-kurangnya boleh tampung kos (tawaran percuma penggunaan venue),” tambahnya.

Langkah ini dilihat sebagai satu tawaran yang cukup baik untuk pelajar sekolah merasai aura gelanggang yang telah menyaksikan banyak kejayaan dicipta dalam arena sukan tanah air.