Skuad bawah 22 tahun (B-22) Malaysia menamatkan kempen Sukan SEA 2023 dengan pesta jaringan selepas membelasah Singapura 7-0 pada aksi terakhir yang berlangsung di Stadium Prince, Kemboja sebentar tadi.

Baca Juga:

T. Saravanan jelas menjadi pemain yang mencuri tumpuan pada perlawanan ini susulan empat gol dihasilkannya.

Beraksi tanpa tekanan kerana sudah pun terkeluar daripada persaingan untuk ke separuh akhir, barisan pemain negara beraksi dengan baik untuk mengawal permainan.

Anak buah E. Elavarasan itu mendapat peluang seawal minit ketiga tetapi Harith Haiqal Adam Afkar gagal menggunakan peluang susulan hantaran baik Syahir Bashah ketika situasi sepakan penjuru seawal minit ketiga.

Saravanan membuka tirai pada minit ke-15 selepas percubaan melencong dilakukannya dalam kawasan penalti tidak mampu diselamatkan penjaga gol Singapura, Muhammad Aizil Mohamed Yazid.

Berselang 13 minit kemudian, Haqimi Azim Rosli terlepas peluang terbaik ketika hanya berhadapan dengan Muhammad Aidil dimana penjaga gol tersebut cemerlang menafikan percubaannya.

Syahir Bashah hampir menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-41 tetapi gol tersebut dibatalkan selepas beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kehampaan tersebut ditebus Haqimi pada masa kecederaan hasil tandukannya selepas menerima umpanan lintang daripada Saravanan untuk kelebihan dua gol memihak skuad negara.

Aksi di babak kedua memperlihatkan penguasaan berterusan ditampilkan Mukhairi Ajmal dan rakan-rakannya bagi menambah jaringan.

Keadaan itu menyaksikan Malaysia menambah empat lagi jaringan dimana Saravanan dengan tiga gol (minit ke-48, 54 dan 62) manakala Mukhairi Ajmal dan Aiman Afif  merobek gawang Singapura bagi menutup pesta jaringan ketika aksi memasuki minit ke-87 dan 93.