Kejutan telah berlaku dalam acara hoki dewan lelaki Sukan SEA 2023 apabila skuad negara tewas 1-2 kepada Indonesia menerusi penentuan shoot-out dalam aksi final yang cukup dramatik, hari ini.

Baca Juga:

Malaysia yang dikendalikan oleh Mohd Hanip Che Halum mendahului dengan selesa 3-0 hasil jaringan Danial Asyraf Abdul Ghani pada minit ke-16, Muhammad Firdaus Omar (minit 21) dan Faridzul Afiq Mohd (minit 24).

Namun, mereka mula leka dalam tempoh tiga minit terakhir lalu dihukum tiga gol pantas Indonesia bermula dengan jaringan Muhammad Firdaus pada minit ke-37.

Dua minit kemudian Ferdian Rahman menjaringkan gol kedua Indonesia sebelum jaringan penyamaan mereka menerusi pukulan sudut penalti Revo Priliandro ketika perlawanan hanya berbaki kira-kira lima saat lagi untuk ditamatkan.

Terikat 3-3 selepas tamat masa sebenar, pemenang ditentukan menerusi shoot-out. Bagaimanapun, dua pemain negara, Izham Azhar dan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan gagal menyudahkan pukulan shoot-out sekaligus mengesahkan kemenangan milik Indonesia.

Kapten skuad negara, Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah tidak dapat menyembunyikanm perasaan sedih dengan dia kelihatan sebak ketika ditemu bual media selepas perlawanan.

“Kami sudah melakukan yang terbaik, tetapi bukan rezeki kami untuk kali ini. Mungkin ada sedikit kelekaan di bahagian pertahanan, dan mungkin sebab itu kita bolos saat akhir,” katanya dipetik dalam Berita Harian.

Lebih menarik, Indonesia kali ini dikendalikan oleh jurulatih dari Malaysia, Dharma Raj yang turut membantu negara memenangi pingat emas Sukan SEA pada tahun 2019 selepas menewaskan Thailand.

Dharma mengotakan janjinya untuk menewaskan skuad negara dan kerja keras beliau mula menunjukkan hasil. Tidak mustahil Indonesia bakal jadi kuasa baharu hoki asia dalam dewan dan padang dalam tempoh 5 tahun akan datang.