Ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan menjadi individu terbaharu mengharapkan agar penonton kembali diberikan ruang untuk hadir semula ke stadium jika saingan Liga Malaysia kembali bersambung pada September ini.
Pandangan Satiananthan itu berdasarkan keyakinan beliau terhadap kepatuhan orang awam dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) terutama dalam aspek penjarakan sosial.
Dalam masa sama, beliau melihat kapasiti Stadium Shah Alam yang menjadi gelanggang utama Selangor mampu memenuhi segala aspek SOP yang diperlukan jika penonton kembali dibenarkan hadir masuk ke stadium.
“Kalau semua pihak mengikut SOP terutama rakyat di luar sana untuk mengikut undang-undang, saya yakin COVID-19 ini akan hilang dan tiada lagi kes baharu dalam masa terdekat.
“Jadi, saya pasti kerajaan boleh beri kelonggaran kepada kita semua untuk membenarkan penyokong hadir ke stadium sebaik liga kita bermula.
“Dalam bola sepak, penyokong adalah paling utama dan kehadiran mereka cukup penting dalam memberikan semangat kepada pemain-pemain ketika beraksi,” katanya.
PENYOKONG PENTING DALAM BOLA SEPAK
Ketua jurulatih @FASelangorMY, B. Satiananthan menjadi individu terbaharu mengharapkan agar penonton kembali diberikan ruang untuk hadir semula ke stadium jika saingan Liga Malaysia kembali…
Artikel penuh 👇#CIMBLigaSuper2020
— Malaysian Football League (@MFL_MY) June 26, 2020
Pada Khamis, ketua jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff, menyatakan hasrat untuk melihat penonton akan diberi lampu hijau untuk hadir ke stadium menyaksikan perlawanan meskipun dalam bilangan yang kecil sebaik sahaja Liga Malaysia kembali bersambung.
Tambah Nidzam, perkara itu tidak mustahil seandainya penyokong diberi peluang untuk hadir ke stadium sepertimana bahagian sektor lain yang telah diberi kebenaran seperti panggung wayang.
Namun beliau berpandangan untuk peringkat awal perkara ini boleh dimulakan dengan skala yang lebih kecil dan tetap melakukan penjarakan sosial di tempat duduk penonton.
Sementara itu, Satiananthan berharap akan ada berita baik tidak lama lagi daripada Malaysian Football League (MFL) berhubung kebenaran menjalani latihan secara ‘body contact’.
Akui pihaknya telah mematuhi semua arahan SOP ditetapkan, Selangor juga meletak harapan yang sama agar semua pasukan tidak melanggar sebarang peraturan bagi memudahkan kelulusan latihan secara penuh dapat direalisasikan.
“Dalam beberapa hari ini, kita telah berjaya mengikuti SOP ditetapkan dan berjaya tunjukkan kepada masyarakat di luar sana khususnya yang terlibat dengan sukan bahawa latihan tanpa body contact ini boleh dibuat.
“Pihak yang lain dalam masa sama juga jangan tidak mengikuti SOP kerana bimbang apa-apa yang tidak diingini boleh berlaku.
“Saya harap dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi, latihan secara body contact dapat bermula memandangkan buat masa ini kami hanya melakukan latihan ketahanan menerusi larian sama ada dengan bola atau tanpa bola,” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.
Cadangan Kemasukan Penyokong Bola Sepak Ke Stadium Akan Dipertimbangkan
8 Pasukan Liga Super Dan 8 Pasukan Liga Premier Diluluskan Permohanan Sesi Latihan Fasa 1