Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan barisan pemain skuad Helang Merah untuk saingan Liga Malaysia musim depan bakal diumumkan selepas 20 Januari 2021.
Meskipun enggan mendedahkan nama pemain import yang bakal dibawa masuk, Sanusi memberi bayangan skuad KDA FC musim depan lebih mantap dan mampu menjadi antara pasukan terbaik di negara.
“Pasukan Kedah akan menjadi pasukan paling mantap dalam saingan musim depan dengan persiapan jurulatih, pemain-pemain yang kita telah pilih serta persiapan kewangan. Kita akan buktikan bahawa Kedah adalah pasukan bola sepak terbaik di negara ini.
“Latihan telah bermula dan 99 peratus pemain telah berlatih kecuali pemain-pemain import yang sedang bercuti menyambut perayaan Krismas. Saya tidak mahu mendedahkan lagi senarai nama pemain termasuk ‘awang import’ kerana akan ada kejutan,” katanya dalam sidang media pada 24 Disember lepas.
Sebelum ini terdapat khabar angin di media sosial mengenai kemasukan pemain import baharu dari Lubnan, Rabih Ataya yang beraksi dengan UiTM FC pada musim ini. Namun begitu, Sanusi berharap para penyokong Kedah sabar menanti pengumuman rasmi pada bulan depan.
“Tunggu, kita akan umumkan semuannya nanti. Setakat ini ramai yang sudah tahu bahawa Aidil Shahrin Sahak adalah Ketua Jurulatih KDA FC. Bagi pemain import pula, ada pemain yang dikekalkan dan manakala yang baharu pula kita akan umum nanti,” katanya.
Kedah setakat ini mengekalkan 3 pemain import musim lalu iaitu Kipre Tchetche, Kpah Sherman dan Renan Alves.
Selain Rabih Ataya, pemain naturalisasi dari Indonesia iaitu Marc Klok serta pemain Singapura, Anumathan Mohan Kumar turut dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan KDA FC.
Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Kedah melalui pautan dibawah.
Kedah Darul Aman FC Keluarkan Kenyataan Rasmi Berkaitan Isu Pemilihan Logo Baharu Pasukan