Bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali keluar dari persaraan dan beliau akan beraksi dalam kejohanan antarabangsa iaitu The Soccer Tournament (TST).
Baca Juga:
- Safee Sali: Jangan Letak Harapan Terlalu Tinggi Buat Skuad Muda Di Sukan SEA
- Hamidin: Kami Nantikan Penglibatan Safee Dalam Pembangunan Bola Sepak
- Safee Sali Umum Persaraan Daripada Bola Sepak Profesional
Safee yang mengumumkan persaraan dari dunia bola sepak profesional pada awal tahun ini akan beraksi dengan pasukan Far East United yang diperkuatkan oleh pemain dari rantau Asia Tenggara seperti Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand.
The Soccer Tournament adalah satu kejohanan yang disertai sebanyak 32 pasukan dan antara kelab ternama dunia yang bakal mengambil bahagian seperti West Ham, Wolves (England), Borussia Dortmund (Jerman) dan Wrexham (Wales).
Safee Sali 'keluar' daripada persaraan, muncul satu-satunya pemain dari Malaysia sertai Far East United ke Amerika Syarikat untuk The Soccer Tournament dari 1-4 Jun ini. Turut disertai B.Dortmund, West Ham, Wolves dan beberapa pemain seperti Cesc Fabregas dan Carlton Cole! ✈️🇺🇸
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) May 8, 2023
Safee bakal beraksi dengan beberapa pemain ternama di Asia Tenggara seperti Greg Nwokolo dan Marc Klok (Indonesia), Charyl Chappuis (Thailand) and Anton Del Rosario (Filipina) dan bekas penyerang Melaka United, Marko Simic juga bakal mengambil bahagian.
“Anton yang membentuk pasukan, dan dia adalah pemain tujuh sebelah terbaik di Filipina. Jadi apabila dia menawarkan tempat kepada saya, dia merasakan saya betul-betul sesuai.
“Saya teruja untuk beraksi di TST kerana saya satu-satunya rakyat Malaysia dalam kejohanan ini. Saya berada dalam keadaan terbaik, dan saya percaya saya mempunyai apa yang diperlukan untuk bermain menentang pemain terbaik.
“Saya tidak sabar untuk berdepan dengan Cesc Fabregas (Como), Carlton Cole (West Ham) dan Clint Dempsey (Team Dempsey). Pemain-pemain ini adalah pemain terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Saya juga tidak sabar untuk melihat Wrexham, yang pemiliknya adalah Ryan Reynolds dan Rob McElhenney yang merupakan selebriti terkemuka di Amerika Syarikat,” katanya menurut laporan The Star.
Tambah Safee Sali, beliau tidak menyasarkan untuk menjadi juara sebaliknya ini merupakan peluang yang cukup baik untuk menaikkan nama Malaysia dalam kejohanan tersebut.