Bekas penyerang negara, Safee Sali menegaskan agar semua pihak agar tidak terlalu menaruh harapan kepada skuad muda negara bagi menghadapi Sukan SEA 2023 di Kemboja, awal Mei nanti.
Baca Juga:
- Malaysia B-22 Muncul Juara Piala Merlion 2023
- Elavarasan Tekad Bawa Skuad Malaysia B-22 Mara Ke Final Sukan SEA
- Haqimi Azim Dan Ruventhiran Dipanggil Sertai Skuad Malaysia B-22
Skuad bawah 23 tahun (B-23) yang kini dibimbing E. Elavarasan berada dalam mood terbaik untuk menghadapi temasya dwitahunan tersebut selepas muncul juara Piala Merlion (kejohanan bawah 22 tahun) di Singapura tempoh hari.
Kejohanan jemputan yang menampilkan empat negara itu menyaksikan skuad negara menewaskan Hong Kong pada aksi final dengan kemenangan 2-1 hasil jaringan Najmudin Akmal dan Safwan Mazlan.
Menurut Safee, kejuaraan itu bagaimanapun bukanlah petunjuk sebenar kepada peluang skuad negara untuk memburu pingat emas yang kali terakhir dimenangi Malaysia pada 2011 di Jakarta, Indonesia.
“Saya rasa untuk pasukan Sukan SEA, kita tidak boleh menaruh harapan yang terlalu tinggi. Saya rasa mereka harus diberi ruang untuk ‘meneroka’ lagi permainan mereka sendiri.”
“Walaupun mereka menjuarai Piala Merlion tempoh hari tetapi itu bukan menunjukkan kita berada di satu landasan yang baik,” ujar Safee Sali bercakap dalam sidang media di Hotel Furama Bukit Bintang, malam tadi
“Bagi mereka ruang untuk mencipta dan mendapat keyakinan, jadi saya rasa sekiranya dapat membawa balik pingat emas, satu bonus buat mereka.”
“Jangan terlalu memuji supaya mereka tidak terbuai dan kalau tidak berjaya ia akan memusnahkan harapan dan ia tidak bagus bagi perkembangan mereka untuk lebih berjaya selepas ini,” tambah Safee Sali lagi.