Skuad Tambadau akhirnya menamatkan penantian selama 7 tahun apabila mengesahkan tiket beraksi dalam saingan Liga Super musim depan dengan menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang semalam.
Kemenangan itu juga menyaksikan Sabah semakin hampir dinobatkan sebagai juara Liga Premier 2019 jika mereka mengutip 3 mata dalam perlawanan yang seterusnya. Selepas 17 perlawanan, mereka berjaya mengumpulkan 37 mata hasil daripada 11 kemenangan dan 4 keputusan seri.
Dalam perlawanan semalam, JDT II hampir menjaringkan gol pertamanya melalui rembatan kencang bekas penyerang Sabah sendiri, Rozaimi Abd Rahman namun sepakannya mengenai tiang gol lawan.
Penyerang import Sabah, Aguilnaldo Mendes Veiga sentiasa menjadi ancaman berbahaya dan kerap mengucar-kacirkan benteng pertahanan tuan rumah. Pemain dari Angola itu turut mengelecekkan penjaga gol JDT II, Muhammad Haziq Nadzli pada minit ke 20, tetapi percubaannya selepas itu sedikit tersasar.
Tersentak dengan percubaan berbahaya dari lawan, JDT II mula mengaturkan serangan untuk memberi tekanan kepada Sabah. Usaha mereka mencari jaringan pertama terus buntu berikutan kekentalan barisan pertahanan lawan yang diketuai Rawilson Batuil.
Menurut laporan daripada Stadium Astro, Rodoljub Paunovic hampir menceriakan ribuan penyokong Sabah yang hadir ke gelanggang lawan itu, namun sepakan lambungnya selepas penjaga gol gol lawan sudah terkeluar dari posisinya gagal menepati sasaran pada minit ke 22.
10 minit sebelum tamat separuh masa pertama, pengendali JDT II, Ervin Boban, mengeluarkan penyerang import mereka, Mohamad Ghaddar, untuk digantikan dengan D. Saarvindran. Keputusan perlawanan kekal tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua, jaringan yang dicari-cari Sabah akhirnya muncul pada minit ke-58 hasil satu rembatan padu Paunovic dari jarak kira-kira 25 meter di luar kotak penalti yang terus menerjah jaring bagi menjadikan kedudukan 1-0.
A goal that bring back @sabahfamedia to Super League 2020.
What
A
STRIKE ! pic.twitter.com/SWrH0Ua3FL
— HanifMiswan17 🇲🇾 💛 (@HanifMiswan17) July 5, 2019
Tersentak dengan jaringan itu, JDT II menggandakan usaha untuk mencari gol penyamaan, namun benteng pertahanan skuad Tambadau itu terlalu ‘keras’ buat tuan rumah.
Jurulatih Sabah, Jelius Ating, kemudian membuat sedikit percaturan dengan corak permainan lebih bertahan apabila memasukkan pemain berpengalaman, Maffry Balang, untuk menggantikan Ricco Nigel Milus pada minit ke-71.
Pada minit ke-80, pintu gol Sabah cemas hasil sepakan percuma S. Kumaahran dari sebelah kiri kawasan Sabah, bagaimanapun Rozaimie Rohim bertindak cemerlang untuk menampan bola keluar.
Kedudukan 1-0 itu kemudian kekal sehingga pengadil, Mohd Ridzuan Rozali, meniupkan wisel penamat.