Presiden Benfica, Manuel Rui Costa mengakui tidak terlalu terkesan dengan pemergian pemain tengah berbakat besar, Enzo Fernandez yang memilih untuk menyertai Chelsea.

Baca Juga:

Fernandez yang dinobatkan selaku ‘Pemain Muda Terbaik’ dalam kempen Piala Dunia 2022 di Qatar berkeras mahu meninggalkan Benfica walaupun kelab gergasi Portugal itu cuba menghalangnya.

Ketika segalanya tampak berada di landasan tepat buat Rui Costa dan Benfica untuk mengekalkan pemain tersebut, Chelsea tampil sekali lagi dengan tawaran sebanyak €121 juta dimana usaha terakhir itu membuahkan hasil ketika jendela perpindahan musim sejuk semakin hampir untuk ditutup.

Keadaan yang sekali gus menjadikan Enzo Fernandez sebagai pemain termahal dalam saingan Liga Perdana Inggeris bagi memadamkan rekod lama dipegang Jack Grealish iaitu  €117 juta.

“Enzo Fernandez tidak mahu kekal di Benfica. Dia langsung tidak memberikan kami peluang [untuk mengekalkannya bersama pasukan],” ujar Rui Costa menurut laporan dikeluarkan Football London.

“Saya telah melakukan yang terbaik, saya kecewa dengan keputusan diambil tetapi saya tidak akan menangis untuk pemain yang tidak mahu kekal bersama pasukan. Apabila [tawaran] Chelsea sampai, ia amat mustahil untuk mengubah fikirannya.”

“Pada ketika itu saya berkata, ‘dia tidak boleh bermain untuk Benfica lagi, tidak mungkin’. Saya tidak menangis untuk pemain yang tidak mahu memakai jersi pasukan kami.”

“Saya juga berharap Enzo akan mahu untuk bersaing merebut kejuaraan bersama kami. Apabila saya menyedari dia tidak mahu melakukannya, saya juga tidak mahu melihat dia menyarung jersi Benfica lagi,” tambah Rui Costa.