Skuad kebangsaan Arab Saudi sah melantik pengurus dari Itali, Roberto Mancini sebagai pengendali baharu pasukan itu.

Perkara ini diumumkan oleh FA Arab Saudi dimana Mancini menandatangani kontrak selama empat tahun dan menerima gaji sebanyak £21 Juta setahun atau sekitar RM123 Juta, yang mana menjadikan beliau sebagai salah satu pengurus yang menerima gaji tertinggi di dunia.

Selepas dilantik, Roberto Mancini menyatakan beliau gembira kerana menyertai Arab Saudi dan mahu mencipta sejarah bersama pasukan itu.

“Saya gembira mengumumkan bahawa saya menyertai Arab Saudi sebagai pengurus skuad kebangsaan.

“Saya berbesar hati kerana dipilih untuk mengisi jawatan paling berprestij itu, sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan untuk semua kerja yang saya lakukan selama ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Yasser Al Misehal.

“Saya menerima projek baharu ini kerana ia begitu menarik, berdasarkan visi dan tujuan yang sama untuk mengembangkan sektor bola sepak negara serta bakat muda dan generasi akan datang, yang sentiasa dekat di hati saya.

“Saya percaya tugasan ini juga merupakan satu pengiktirafan tentang kepentingan bola sepak Itali dan saya dengan bangganya akan terus membawa budaya Itali kami ke dunia,” katanya.

Perlawanan pertama Mancini bersama Arab Saudi ialah pada 8 September ini menentang Costa Rica dimana perlawanan itu akan diadakan di St James Park.

Mancini meletak jawatan sebagai pengurus Itali pada 13 Ogos lalu dan beliau digantikan oleh bekas pengurus Napoli, Luciano Spaletti untuk mengendalikan skuad kebangsaan negara itu.

Mancini membantu Itali memenangi UEFA Euro 2020 dengan menewaskan England pada perlawanan akhir menerusi penentuan sepakan penalti.